Empat nelayan Vietnam cedera ditembak tentera laut Indonesia


Indonesia dan Vietnam seringkali bertelagah berkaitan dengan aktiviti menangkap ikan di perairan Laut China Selatan. – Gambar AFP, 24 Julai, 2017.

EMPAT nelayan Vietnam cedera ditembak tentera laut Indonesia hujung minggu lepas, kata pihak berkuasa hari ini. Kejadian itu ialah yang terbaru dalam pergelutan hak menangkap ikan di Laut China Selatan

Kapal Vietnam itu yang mempunyai enam orang awak-awak ditembak pada Sabtu menurut laporan atas talian dikeluarkan agensi bencana dan penyelamat Vietnam.

Kapal itu ditunda balik ke kepulauan Con Dao, Vietnam pagi Isnin dan mereka yang cedera dikejarkan ke hospital.

“Dua yang cedera parah dihantar ke pusat perubatan Con Dao dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” tambah laporan itu lagi.

Dua lagi cedera ringan.

Kapal Indonesia dan Vietnam seringkali bertembung di Laut China Selatan, kawasan yang menjadi rebutan negara Asia Tenggara serta Taiwan dan China.

Mei lalu, hubungan kedua-dua negara itu tegang seketika apabila penjaga pantai Indonesia menahan kapal nelayan Vietnam yang didakwa beroperasi secara haram di perairannya.

Jakarta menahan 11 awak-awak warga Vietnam susulan kekecohan yang berlaku di Kepulauan Natuna, Indonesia. Sementara seorang penjaga pantai Indonesia masih lagi ditahan Hanoi.

Kedua-dua negara berkata mereka sudah bersetuju menyelesaikan masalah itu menggunakan saluran diplomatik dan berharap kejadian serupa di masa akan datang dapat dielakkan. – AFP, 24 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen