Saya bukan dengan mana-mana kem, kata Fahmi


Melati A. Jalil

PENGARAH Komunikasi PKR Fahmi Fadzil hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau menyokong mana-mana kem dalam parti, malah berkata hanya patuh pada Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum Anwar Ibrahim.

Menurut Fahmi, beliau tidak bertanding di bawah mana-mana “pasukan” dalam pemilihan parti.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengumumkan akan mencabar Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali bagi jawatan nombor dua parti itu.

Rafizi pada minggu lepas mengumumkan pasukan kepimpinannya yang tidak menyertakan Fahmi.

““Saya bukan dengan mana-mana kem. Kalau ada pun, saya dengan kem Anwar tetapi Anwar tidak ada kem, jadi saya hanya ikut presiden,” katanya, sebelum menyerahkan borang pencalonannya.

Fahmi menolak khabar angin bahawa terdapat perbalahan dalam parti dan berkata perselisihan faham kecil dalam parti adalah perkara biasa.

“Anggota parti semua menerima semangat demokrasi tapi pada masa sama kita kekalkan disiplin. Kita tunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa kita boleh lakukan proses demokrasi ini dengan matang baik dan tenteram,” katanya.

Selain daripada menyerahkan borang pencalonannya, Fahmi juga menyerahkan borang pencalonan Nurul Izzah Anwar yang akan bertanding mempertahankan jawatan naib presiden.

Nurul Izzah juga antara pemimpin yang berada dalam pasukan “Reformasi 20 tahun” Rafizi.

Rafizi baru-baru ini mengemukakan pasukannya, yang turut terdiri daripada William Leong (ahli Parlimen Selayang), Johari Abdul (ahli Parlimen Sungai Petani) and S Kesavan (ahli Parlimen Sungai Siput) bagi jawatan naib presiden.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh akan bertanding jawatan ketua Wanita, manakala Ahli Parlimen Kuantan Rodziah Ismail dan Adun Batu Tiga bertanding bagi jawatan timbalan.  

Bagi jawatan ketua Pemuda pula, ia akan ditandingi oleh Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir.

Pemilihan PKR akan bermula antara 14 September dan 7 Oktober ini, di mana 800,000 ahli akan mengundi secara berperingkat melalui sistem pengundian elektronik. – 5 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen