SEKURANG-KURANGNYA 24 orang terbunuh dan 42 yang lain cedera hari ini selepas sebuah bom yang membawa bahan letupan melanggar bas yang membawa kakitangan kerajaan di kawasan majoriti Syiah di Kabul, mencetuskan kebimbangan keganasan agama bakal tercetus.
Bas itu yang membawa kakitangan Kementerian Perlombongan melalui kawasan di barat Kabul itu di waktu puncak, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najib Danish kepada AFP.
Ia dilanggar kereta yang membawa bahan letupan ketika melalui kawasan sibuk di bandar itu yang merupakan kawasan etnik minoriti, Syiah Hazaras. Kawasan itu juga berhampiran dengan rumah ahli politik terkenal, Mohammad Mohaqeq.
Bas yang hangus terbakar itu ditinggalkan di jalan ketika mereka yang cedera dikejarkan ke hospital menggunakan ambulan, kereta orang awam dan teksi.
Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab yang berlaku sebelum jam 7 pagi waktu tempatan. Serangan yang dilakukan kumpulan itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini serta menawan daerah Ghor hujung minggu lalu.
Jurucakap kumpulan itu menerusi Twitter mendakwa yang bas itu membawa kakitangan agensi perisikan Afghanistan.
Serangan itu berlaku ketika komuniti Hazara di Kabul merancang untuk mengadakan demonstrasi di situ bagi menandakan setahun serangan bom yang membunuh 84 orang di situ, kebanyakkan mangsa ialah etnik minoriti itu.
Tetapi mereka bersetuju untuk menunda demonstarsi itu kerana faktor keselamatan dan selepas pertemuan dengan Presiden Ashraf Ghani semalam, menurut kenyataan yang dikeluarkan presiden. – AFP, 24 Julai, 2017.
Komen