PIHAK berkuasa Bangladesh menutup perkhidmatan Internet di seluruh negara, hari ini susulan protes pelajar besar-besaran yang berlaku sehingga mencetuskan keganasan.
Sepanjang minggu lalu, pelajar menyebabkan kekecohan di ibu kota Dhaka dengan protes terhadap keselamatan jalan raya yang teruk, susulan dua remaja terbunuh dilanggar bas yang dipandu laju.
Semalam, protes itu mencetuskan keganasan di kejiranan Jigatala dengan lebih 100 orang cedera.
Saksi berkata polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan dan aktivis pro kerajaan menyerang golongan muda itu, termasuk sebahagian lagi yang bergegas ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Akhbar tempatan Prothom Alo berkata perkhidmatan Internet 3G dan 4G ditutup selama 24 jam sejak Sabtu, tidak lama selepas keganasan itu berlaku.
Media sosial dilimpahi komen daripada rakyat yang tidak dapat mengakses kepada Internet menerusi telefon bimbit, walaupun Internet tanpa wayar dan jaringan lain tidak terjejas.
Tindakan itu mungkin bertujuan untuk mengehadkan kemampuan pelajar untuk bergerak atau menyebarkan maklumat menerusi Internet sementara kerajaan menangani protes berkenaan, beberapa jam selepas polis dan sekumpulan lelaki tidak dikenali membawa kayu dan batu bertempur dengan pelajar.
Polis menafikan melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan. Bagaimanapun hospital berkata berpuluh-puluh orang cedera, dengan ada yang mengalami kecederaan teruk, konsisten dengan akibat peluru getah.
Sektor pengangkutan Bangladesh dilihat sebagai rasuah, tiada peraturan dan bahaya. – AFP, 5 Ogos, 2018.
Komen