MOSCOW melantik pelakon terkenal Amerika Syarikat (AS) Steven Seagal sebagai utusan khasnya berkaitan hubungan kemanusiaan dengan AS, kata Kementerian Luar Rusia semalam.
“Steven Seagal dilantik sebagai wakil khas Kementerian Luar Rusia berhubung Hubungan Kemanusiaan Rusia-AS,” kata kementerian itu di laman webnya.
Seagal mula terkenal pada akhir 1980-an dan awal 1990-an melalui filem seperti “Under Siege” dan “Above the Law”. Beliau masih popular di timur Eropah dan diberi kerakyatan Rusia dan Serbia pada 2016.
Selepas Rusia menceroboh Crimeria pada 2014, Seagal menggelar Putin sebagai “salah seorang pemimpin hebat di dunia”.
Seagal dilihat di Piala Dunia di Rusia dan merupakan antara tetamu yang dijemput ketika Putin mengangkat sumpah untuk penggal keempat pada Mei.
Pelakon berusia 66 tahun itu juga antara nama besar Hollywood yang dituduh terlibat dalam skandal salah laku seks ketika kempen #MeToo.
Menurut Kementerian Luar Rusia, Seagal tidak akan dibayar bagi peranannya sebagai utusan khas.
Pengumuman lantikan Seagal itu susulan hubungan Rusia-AS renggang akibat konflik berpanjangan di Syria dan Ukraine, serta tuduhan bahawa Rusia campur tangan dalam pilihan raya presiden AS 2016. Tuduhan itu dinafikan Rusia. – AFP, 5 Ogos, 2018.
Komen