Ebola ragut 33 nyawa di Congo


Beberapa pekerja kesihatan kelihatan di zon keselamatan Ebola di pusat kesihatan di Iyonda, Congo. – Gambar AFP, 5 Ogos, 2018.

PENULARAN terbaru virus Ebola di timur Republik Demokratik Congo (DRC) dipercayai meragut 33 nyawa setakat ini.

Kementerian Kesihatan dalam buletin semalam berkata, 13 kes terbaru virus maut itu dikesan sejak penularan wabak berkenaan diisytiharkan pihak berkuasa pada 1 Ogos lalu di wilayah Utara Kivu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan walaupun hanya tiga kematian dicatatkan daripada 13 kes itu, namun jumlah pesakit yang maut meningkat kepada 33 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan Jumaat lalu berkata, usaha mengekang penularan wabak berkenaan di zon perang seperti negara itu cabaran yang amat sukar.

Ketua Unit Kecemasan WHO Peter Salama berkata pekerja kesihatan di Utara Kivu di timur DRC perlu memberikan tumpuan kepada lebih 100 kumpulan bersenjata dengan 20 daripadanya dikategorikan sebagai sangat aktif.

Penyebaran wabak di Utara Kivu diisytiharkan seminggu selepas WHO dan kerajaan Kinshasa meraikan kejayaan menghapuskan gelombang pertama Ebola di barat laut wilayah Equateur.

Kes terbaru virus Ebola itu ke-10 di DRC sejak 1976 selepas kali pertama dikesan di utara negara terbabit, ketika itu dikenali sebagai Zaire.

Sementara itu di Geneva, WHO berkata kebanyakan kes terbaru dicatatkan di daerah Mangina, 30 kilometer dari bandar Beni. – AFP, 5 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen