Kumpulan peguam desak polis bertindak atas ancaman bunuh Siti Kasim


Peguam Siti Kasim (kiri) membuat laporan polis berkaitan ugutan yang diterimanya di Balai Polis Sentul semalam. – Gambar Facebook Siti Kassim, 24 Julai, 2017.

KUMPULAN peguam hari ini meningkatkan tekanan ke atas polis untuk bertindak pantas terhadap ancaman kematian yang diterima peguam dan aktivis Siti Kasim yang juga pejuang masyarakat minoriti dan pengkritik lantang terhadap ekstremisme agama.

Peguam Melissa Sasidaran dari Lawyers for Liberty (LFL) berkata, pihak berkuasa tidak mengambil serius kepada ancaman dan perlakuan terhadap wanita, sambil menyebut kurangnya tindakan atas ancaman serupa yang diterima aktivis wanita seperti Noor Farida Mohd Ariffin (Kumpulan G25), peguam Ambiga Sreenevasan dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

Kali ini, Siti Kasim menerima ancaman dalam talian berhubung pandangannya mengenai hak-hak homoseksual dan Islam. Menurut LFL, ancaman tersebut termasuk ancaman  bunuh, rogol dan serangan asid.

“Ini tidak boleh diterima dan mengejutkan apabila pihak berkuasa tidak mengambil tindakan serius ke atas ancaman dan perlakuan buli terhadap wanita.

“Sebaliknya, pihak berkuasa bertindak cepat terhadap komen-komen media sosial yang kritikal atau dianggap menyinggung perasaan kerajaan atau kepentingannya. 

“Polisi pilih kasih ini memberi gambaran buruk kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” kata LFL dalam satu kenyataan hari ini.

Di laman Facebooknya semalam, Siti Kassim berkata dia menerima ancaman dalam talian daripada seorang lelaki yang menggesa umat Islam lain membunuh dan mencederakannya.

“Saya tidak akan mendedahkan siapa dia ini sebenarnya, kerana saya akan menunggu dan lihat sama ada polis akan cepat dan pantas bertindak seperti yang biasanya dilakukan terhadap personaliti terkenal dengan perkataan yang kurang mengancam,” kata Siti Kasim dalam postingnya.

“Mereka ini tiada bezanya dengan mentaliti IS. Mereka tidak dapat menerima hak mempertahankan seseorang daripada dianiaya adalah suatu hak dan seseorang itu mempunyai hak untuk menggunakan akalnya.

“Saya tidak akan ambil ringan atas sebarang ancaman.”

Siti Kassim turut memuat naik foto laporan polisnya yang difailkan di Balai Polis Sentul semalam, tetapi menutup nama individu yang syaki.

LFL berkata, pihak berkuasa harus segera bertindak terhadap orang yang membuat ancaman sedemikian di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 506 kerana intimidasi jenayah dan 509 bagi perkataan atau gerak isyarat yang bertujuan mencabul kehormatan seseorang.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga boleh dikenakan kerana ia melarang penggunaan kemudahan rangkaian yang betul untuk penyalahgunaan, gangguan atau mengancam mana-mana individu .

LFL berkata, kegagalan polis untuk mengambil serius ancaman itu hanya akan menggalakkan lebih banyak keganasan terhadap wanita. - 24 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen