PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro terselamat daripada serangan apabila beberapa dron membawa bahan letupan dihalakan berhampiran dengannya ketika sedang memberi ucapan pada satu majlis upacara ketenteraan semalam.
Kerajaannya dalam satu kenyataan berkata tujuh anggota tentera cedera dalam insiden itu.
“Ia serangan terhadap Presiden Nicolas Maduro,” kata Menteri Komunikasi Jorge Rodriguez susulan insiden itu turut terakam dalam siaran langsung.
Imej televisyen negara merakamkan aksi Maduro yang kebingungan ketika menyampaikan ucapan apabila satu bunyi kuat kedengaran, dan anggota pasukan tentera yang sedang beratur pada perarakan itu tiba-tiba bertempiaran.
Rodriguez berkata berlaku letupan berhampiran podium presiden dan beberapa tempat lagi di sepanjang perarakan itu diadakan di tengah Caracas.
Maduro bagaimanapun tidak cedera dan menjalankan tugas seperti biasa, kata Rodriguez. – AFP, 5 Ogos, 2018.
Komen