RESPONS terhadap pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, baru-baru ini tentang “peruntukan khas” RM35.74 juta untuk Sarawak membaiki 853 sekolah usang dengan segera, agak hambar.
Satu-satunya kenyataan yang ada ialah daripada Ahli Parlimen Julau dari PKR, Larry Sng yang berkata peruntukan itu respons pantas oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk menangani masalah keperluan dan kebajikan pelajar, guru dan kakitangan di sekolah pedalaman.
Sementara itu pemimpin Gabungan Parti Sarawak terus mendiamkan diri kerana jumlah itu hanya sedikit daripada RM4 bilion hingga RM5 bilion yang diminta kerajaan negeri untuk membaiki 1,020 sekolah – atau 70% daripada 1,454 – yang dianggap usang.
Dan daripada 1,020 sekolah itu, 415 atau hampir 40%, dikategorikan sebagai “sangat usang”.
“Bila kami kata sangat usang, maknanya ia tidak boleh dibaiki. Ia hanya boleh dibina semula,” kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri Michael Manyin pada sidang dewan undangan negeri (DUN).
Bila kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) sebelum ini memperuntukkan RM1 bilion untuk kerja membaiki sekolah-sekolah di Sarawak dalam bajet tahun ini, Manyin berkata ia tidak cukup.
“Kami perlukan RM4 bilion,” katanya ketika itu.
Manyin berkata RM1 bilion hanya mungkin dapat membaiki 40 hingga 50 sekolah yang rosak.
Isu sekolah usang bukan perkara baharu. Ia dibahaskan di sidang DUN dan secara terbuka selama sejak sedekad lalu.
Ketika Donaldson J (bukan nama sebenar) melaporkan diri di sekolah pertamanya di Ulu Katibas, Song, selepas tamat latihan perguruan pada 1994, reaksi pertamanya ialah: “Wow! Ada sekolah dalam kawasan pedalaman.”
Dari tebing sungai ketika dia tiba, dia tidak nampak lagi sekolah itu atau kuartersnya. Bila dia nampak saja, dia terfikir kenapalah dia memilih untuk menjadi guru.
“Saya terkejut dengan keadaan sekolah itu,” kata Donaldson yang bercakap tentang pengalamannya “mengajar di dalam hutan rimba”, dengan syarat tidak dinamakan.
“Teruk sangat,” katanya kepada The Malaysian Insight tentang sekolah itu di mana bumbungnya bocor, siling, dinding dan lantai reput, cat terkopek, papan hitam pecah, manakala meja dan kerusi perlu diganti serta-merta.
Katanya, kuarters tempat tinggalnya nampak macam reban ayam.
Sekolah itu, SK Tan Sri Jugah dinamakan sempena tokoh Iban dan salah seorang bapa pengasas Malaysia, Jugah Barieng.
Namun, tidak ada yang hebat tentang sekolah itu, kata Donaldson.
Untuk sampai ke sekolah itu, Donaldson terpaksa menaiki bot panjang dari sungai di pekan Song di Sungai Rajang untuk ke Sg Katibas dan Sg Bangkit – anak sungai di Sungai Rajang.
Perjalanan pada “hari yang baik” biasanya ambil masa 3 hingga 4 jam.

Memandangkan kedai terdekat jaraknya beberapa jam perjalanan, bot panjang itu biasanya penuh dengan makanan dan bahan asas lain yang boleh bertahan untuknya selama sebulan.
Lokasi dan kesukaran untuk sampai ke SK Tan Sri Jugah menyebabkan sekolah itu hampir dilupakan, rosak ditelan masa dan persekitaran, dan termasuk dalam statistik sebagai sekolah usang di negeri itu.
Ketika dipindahkan ke sekolah lain dua tahun kemudian, Donaldson berkata SK Tan Sri Jugah tidak berubah seperti kali pertama dia sampai ke situ, kecuali ada sedikit kerja-kerja pembaikan dilakukan.
“Kami terpaksa baiki kuarters kami supaya ia boleh diduduki. Guru perlu jadi tukang kayu dan mekanik juga untuk baiki set generator sekolah.”
Timbalan Ketua Menteri James Masing tahun lalu berkata keengganan kerajaan persekutuan memperuntukkan kewangan untuk membaiki dan memperbaiki sekolah pedalaman selama ini menyebabkan keadaan seperti ini berlaku.
Sehingga hari ini, Kementerian Pendidikan memberikan kontrak untuk membaiki hanya 116 sekolah, menurut Manyin dalam laporannya kepada sidang DUN.
Bagaimanapun, terdapat perbalahan berkenaan jumlah keseluruhan kontrak itu, RM419.05 juta.
Manyin berkata berdasarkan kepada keputusan yang dibuat ketika pembentangan kepada Majlis Ekonomi Negara pada 9 Oktober tahun lalu, jumlah itu sepatutnya bukan sebahagian daripada RM1 bilion yang diluluskan di bawah bajet 2018, tetapi di bawah bajet Rancangan Malaysia ke-11 yang diluluskan.
Katanya, pelaksanaan kerja pembaikan itu juga gagal mengikut senarai keutamaan sekolah yang kritikal seperti disediakan oleh kerajaan negeri.
Kesabaran kerajaan negeri terhadap isu itu semakin tipis.
Bagi mempercepatkan kerja pembaikan, Ketua Menteri Abang Johari Openg sekali lagi menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada kerajaan baharu PH untuk menangani isu itu.
Dengan cara itu, kerajaan negeri menggunakan dulu dana sendiri dan kemudian dipulangkan semula oleh kerajaan persekutuan.
Setakat ini, hanya satu respons diterima tentang tawaran itu, iaitu dari Menteri Kerja Raya Baru Bian, yang juga warga Sarawak, yang berkata tawaran itu boleh dirunding demi rakyat Sarawak.
Dengan kerajaan baharu PH masih dalam peralihan dan berdepan masalah kekangan kewangan, kerajaan negeri terpaksa menggunakan dana sendiri untuk membaiki dan membina sekolah.
Baru-baru ini kerajaan negeri meluluskan dana untuk pemindahan dan pembinaan sekolah dua sekolah yang sangat usang dan terdedah dilanda banjir.
Manyin berkata pemindahan lokasi dan pembinaan semula SK Ulu Segan di Bintulu akan membabitkan dana RM40.1 juta sementara pelaksanaan sama terhadap SK Maludam di Betong memerlukan kos RM48.2 juta.
Di bawah Inisiatif Transformasi Luar Bandar (RTI), sejumlah 67 sekolah dibaiki dan dinaik taraf dengan bajet RM21 juta.
Katanya, kerja pembaikan sekolah-sekolah berkenaan sudah bermula dan dijangka siap lewat tahun ini dan tahun depan. – 5 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan