Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel


Ahli keluarga Muadh al-Suri meratap kematiannya yang ditembak tentera Israel pada Jumaat. – Gambar AFP, 4 Ogos, 2018.

SEORANG remaja Palestin meninggal dunia akibat kecederaan pada Sabtu selepas ditembak oleh tentera Israel semasa pertempuran di sempadan Gaza, kata Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh Hamas.

Muadh al-Suri, 15, ditembak di perut pada Jumaat di tengah Gaza, kata jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra, menjadikan jumlah rakyat Palestin yang dibunuh akibat ditembak tentera Israel semasa pertempuran kepada dua orang, dengan lebih 200 orang cedera.

Menurut tentera Israel, kira-kira 8,000 rakyat Gaza berkumpul di tempat berlainan di sepanjang sempadan pada Jumaat, cuba mensabotajkan pagar sempadan Israel.

Beberapa rakyat Palestin “menyusup” ke Israel dan melontar bom api dan “alat peledak” sebelum kembali ke Gaza, katanya.

Seorang lagi rakyat Palestin, Ahmed Yaghi, 25, maut ditembak seorang penembak hendap di timur Kota Gaza pada Jumaat.

Yaghi dan Suri dikebumikan pada Sabtu.

Sekurang-kurangnya 159 orang Palestin terbunuh dalam demonstrasi sempadan yang bermula pada akhir Mac, sementara seorang askar Israel ditembak mati.

Palestin juga melepaskan belon dan layang-layang yang membawa bahan bakar di seluruh sempadan, yang menyebabkan ratusan kebakaran di Israel. – AFP, 4 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen