Ratusan hadir pengebumian mangsa serangan masjid di Afghanistan


Orang ramai mengiringi jenazah mangsa serangan pengebom bunuh diri di sebuah masjid di Afghanistan semasa solat Jumaat yang mengakibatkan 35 maut dan 80 orang cedera. – Gambar AFP, 4 Ogos, 2018.

RATUSAN orang ramai meratapi pengebumian mangsa serangan bunuh diri berkembar pada Sabtu di sebuah masjid Syiah di timur Afghanistan, ketika angka kematian meningkat kepada 35 orang, menurut kenyataan rasmi.

Dua pengebom bunuh diri berpakaian wanita meletupkan diri di sebuah masjid Syiah di Gardez, ibukota wilayah Paktia, pada Jumaat ketika ia penuh sesak dengan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat.

Penyerang berpakaian burqa menembak penjaga keselamatan masjid sebelum melepaskan tembakan ke arah para jemaah dan seterusnya meletupkan diri mereka.

“Jumlah korban akibat serangan di masjid pada Jumaat di Gardez meningkat kepada 35 orang dengan 94 orang cedera,” kata Gabenor Paktia, Shamim Khan Katawazi kepada AFP.

Ketua Polis Daerah Raz Mohammad Mandozai mengesahkan jumlah mangsa itu.

Kenyataan sebelum ini mengatakan 29 orang terbunuh dan lebih 80 orang cedera.

“Hari ini, kami mengadakan upacara pengebumian semua mangsa serangan yang syahid pada Jumaat,” kata Sayed Moharram, yang kehilangan anaknya yang berusia 16 tahun, kepada AFP di perkuburan yang terletak di pinggir Gardez di mana ratusan orang menghadiri majlis tersebut.

“Sukar untuk saya menerima anak saya tidak lagi bersama,” katanya.

Haji Sultan, 70, yang juga hadir, menuduh kerajaan “cuai” dalam menjaga keselamatan untuk golongan minoriti Syiah.

“Para musuh Afghanistan mahu membentuk pembahagian dengan melakukan serangan terhadap rakyat Syiah, tetapi mereka tidak akan menang, ia akan meningkatkan lagi kebencian terhadap musuh,” katanya.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Taliban menafikan penglibatannya tetapi beberapa tahun kebelakangan ini kumpulan militan Islamic State (IS) melakukan serangan terhadap kaum Syiah di Afghanistan.

Bulan lalu seorang pengebom bunuh diri IS meletupkan dirinya berhampiran lapangan terbang antarabangsa Kabul, membunuh 23 orang termasuk pemandu AFP Mohammad Akhtar. – AFP, 4 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen