CALON PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni mendahului dua lagi calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam kiraan undi tidak rasmi.
Laman web yang diuruskan Institut Darul Ehsan (IDE) melaporkan setakat jam 7.20 malam, Zawawi menerima 7,979 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) Lokman Noor Adam yang memperolehi 4,724 undi, manakala calon bebas K Murthy memperolehi 62 undi.
Daripada 13,379 undi tidak rasmi, Zawawi memperolehi 62.28%, Lokman memperolehi 37.26%, manakala Murthy memperolehi 0.46%.
Bernama melaporkan kesemua 19 pusat mengundi di Sugai Kandis ditutup pada jam 5.30 petang.
Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, Shah Alam dan keputusan dijangka diumumkan selewat-lewatnya 10 malam ini.
Zawawi tiba di pusat penjumlahan itu kira-kira jam 8.25 malam.
Di pusat penjumlahan undi, peti undi mula tiba kira-kira jam 6.45 petang.
Sehingga 4 petang tadi, peratusan yang keluar mengundi pada PRK ini adalah sebanyak 45 peratus.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus.
Sebanyak 51,217 atau 99.97 peratus pengundi biasa layak mengundi hari ini manakala 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
Tiada pengundi awal bagi PRK DUN Sungai Kandis.
Pilihan raya itu diadakan berikutan kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis selepas kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas. – 4 Ogos, 2018.
Komen