PARTI pemerintah Jepun dikecam kerana kenyataan dikeluarkan salah seorang ahli Parlimen yang mengatakan pasangan gay dan lesbian “tidak produktif” kerana mereka tidak boleh mempunyai anak.
Ahli politik Parti Demokratik Liberal (LDP) Mio Sugita, sekutu Perdana Menteri Shinzo Abe, mencetuskan protes berhubung artikel yang ditulisnya pada Julai yang mempersoalkan wang pembayar cukai yang dibelanjakan kepada pasangan LGBT.
“Bolehkah kita mendapatkan kelulusan membelanjakan wang pembayar cukai untuk pasangan LGBT? Mereka tidak boleh melahirkan anak, dengan kata lain, mereka tiada produktiviti,” katanya.
Kira-kira 5,000 orang membantah di luar ibu pejabat LDP di Tokyo minggu lalu berhubung kenyataannya itu dan demonstrasi serupa dirancang di Osaka dan beberapa bandar lain pada hujung minggu ini, kata penganjur.
Abe cuba menenangkan keributan itu, mengatakan kenyataan Sugita bercanggah dengan dasar parti terhadap golongan minoriti seksual.
LDP juga memberi amaran secara berasingan kepadanya agar memberi perhatian lebih kepada ucapannya, dengan mengatakan dalam satu kenyataan: “Artikel anggota Parlimen Sugita ... termasuk frasa mencerminkan masalah pemahaman beliau dan pertimbangan terhadap perasaan orang (LGBT) yang terlibat.”
Tetapi parti itu hanya menegur setakat itu sahaja meskipun terdapat gesaan untuk beliau meletakkan jawatan.
Sugita - seorang ibu - dilaporkan berkata akan menerima arahan parti “dengan serius” tetapi tidak meminta maaf atau menarik balik kenyataannya.
Penganalisis berkata Abe bimbang mengenai kemungkinan ia menjejaskan popularitinya menjelang pemilihan kepimpinan parti pada September apabila beliau berhasrat untuk mengekalkan jawatannya.
“Saya tidak fikir ia akan menjadi isu dalam kempen pilihan raya tetapi sekurang-kurangnya Abe nampak prihatin tentang kmungkinan serangan balas,” kata profesor emeritus Tetsuro Kato di Universiti Hitotsubashi di Tokyo, kepada AFP.
Parti pembangkang menyerang LDP atas pendirian “lembut” terhadap Sugita, menuntut peletakan jawatannya segera.
“Sekiranya beliau tidak memohon maaf atau menarik balik kenyataan itu, beliau perlu meletak jawatan sebagai anggota Parlimen,” kata Akira Koike daripada Parti Komunis Jepun kepada pemberita.
Sekumpulan ahli undang-undang tempatan juga menggesa beliau meminta maaf kepada komuniti LGBT dan menarik balik artikel itu.
Walaupun Jepun sebahagian besarnya bertolak ansur terhadap homoseksual tetapi tiada perlindungan undang-undang khusus untuk golongan gay. – AFP, 4 Ogos, 2018.
Komen