Dakwaan Umno 'Kristian ambil alih Putrajaya' perkecilkan Agong, kata Mujahid


Looi Sue-Chern

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika mengadakan pertemuan dengan Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM) di Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2018

AHLI Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman telah memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan kenyataan dalam kempen pilihan rayanya bahawa Kristian telah mengambil alih Putrajaya, kata menteri kabinet yang bertanggunjawab ke atas hal ehwal Islam hari ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Tajuddin perlu ingat YDPA adalah pemerintah Malaysia dan pelindung agama Islam menurut Perlembagaan Persekutuan. 

“Beliau sebenarnya telah memperkecilkan Agong dengan mengatakan Kristian telah mengambil alih Putrajaya,” kata Mujahid. 

Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam itu mengulas mengenai kenyataan Tajuddin semalam ketika berkempen di Kampung Jawa pada pilihan raya kecil Sungai Kandis di Selangor.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga merujuk kepada video yang tular menunjukkan paderi Kristian meraikan kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke 14 baru-baru ini. 

Tajuddin turut merujuk kepada pelantikan ahli politik yang katanya beragama Kristian — Lim Guan Eng, Anthony Loke dan Hannah Yeoh — ke dalam kabinet.

Beliau mendakwa pemimpin berkenaan menggunakan kedudukan mereka untuk menyebarkan agama Kristian. 

“Nama-nama yang saya sebut ini mereka ini pengembang agama Kristian. Mereka ini pengembang agama Kristian.

“Kita kena waspada. Dalam dia berpolitik, dia menggunakan platform politik untuk mengembang, menyebar agama Kristian,” dakwanya ketika berkempen di Sg Kandis.

Loke bagaimanapun tidak mengamalkan ajaran Kristian. 

Mujahid berkata, komen berkenaan adalah tipikal Umno, dan menambah “wajah perkauman” parti itu semakin jelas.

“Perkauman dan agama boleh menjadi bahaya apabila ia menjadi satu-satnya isu yang mendominasi parti. Mereka akan gunakan isu ini sebagai jalan terakhir. 

“Ia amat sensitif kepada masyarakat umum, terutamanya bila melibatkan pengundi,” katanya yang juga naib presiden Amanah. 

Tajuddin sebaliknya perlu cuba menyakinkan masarakat bahawa Umno mampu membawa perubahan daripada menggunakan isu kaum dan agama. 

“PH tidak akan gunakan ia sebagai alat. Kerana yang pertama - Kristian mengambil aloh Putrajaya adalah dakwaan yang tidak berasas. Agong masih pemerintah dan pelindung agama Islam.”

Kedua kata Mujahid, rakyat mengundi PH bukan kerana mereka mahu Kristian mengambil alih, tetapi kerana mereka bencikan Umno dan penyelewengannya. 

Mujahid bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM) di sebuah hotel di Gurney Drive, di mana kumpulan berkenaan membangkitkan beberapa perkara melibatkan komuniti itu dan masjid mereka. – 4 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen