Israel pintas bot aktivis ke Gaza


Gambar fail pada 2015 menunjukkan kapal tentera laut Israel berkawal berhampiran Pelabuhan Ashdod. – Gambar fail EPA, 4 Ogos, 2018.

TENTERA Israel memintas bot aktivis Sweden ke Gaza, yang kedua dalam tempoh kurang seminggu, kata tentera.

“Bot itu dipantau dan dipintas mengikut undang-undang antarabangsa,” kata tentera dalam satu kenyataan, sebelum bot Freedom yang membawa 12 penumpang itu dibawa ke pelabuhan Israel di Ashdod.

Menerusi kenyataan itu juga pihak tentera menjelaskan kepada penumpang bot terbabit bahawa mereka telah melanggar sekatan tentera laut dan semua barang dagangan kemanusiaan boleh dipindahkan ke Gaza melalui pelabuhan Ashdod.

Semua penumpang atas bot juga ditahan untuk “pertanyaan lanjut”.

Penganjur flotila berkata bot yang membawa bekalan ubat-ubatan itu dipintas di perairan antarabangsa.

“The Ship of Gaza menuntut bot dan penumpang serta kargonya dipulangkan semula, dan mereka dibenarkan masuk secara aman menerusi perairan antarabangsa dan Palestin mengikut undang-undang antarabangsa,” kata penganjur menerusi satu kenyataan.

Freedom adalah bot kedua “Freedom Flotilla” yang dipintas ketika dalam perjalanan “untuk melepasi sekatan” terhadap Gaza, kata penganjur.

Empat buah bot berlepas dari Scandinavia pada pertengahan Mei dan berhenti di kira-kira 28 pelabuhan di sepanjang jalan. 

Pada Ahad, tentera laut Israel memintas sebuah bot aktivis Norway yang meruakan sebahagian daripada flotila.

Israel berkata sekatan itu adalah penting untuk memastikan Palestin tidak mendapat bekalan senjata atau apa saja bahan uang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Pegawai PBB menggesa supaya sekatan ditarik balik dan berkata situasi kemanusiaan di palestin kian meruncing di mana 80 peratus daripada dua juta penduduknya amat bergantung kepada bantuan. – AFP, 4 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen