PENUNJUK perasaan Iran menyerang sekolah agama di wilayah Karaj berhampiran Tehran, lapor agensi berita Fars pada Sabtu.
“Pada pukul 9 malam (1530 GMT pada Jumaat) mereka menyerang sekolah dan cuba memecah pintu dan membakar barang,” lapor Fars memetik ketua sekolah di bandar Ishtehad, Hojatoleslam Hindiani.
“Mereka seramai kira-kira 500 orang dan melaungkan menentang sistem tetapi disuraikan oleh polis rusuhan dan ada yang ditangkap,” kata Hindiani.
Pihak berkuasa Iran tidak menyebut mengenai protes yang berlangsung beberapa hari di bandar seperti Isfahan, Shiraz, Mashhad dan Tehran, disebabkan bimbang ia memberi kesan kepada ekonomi serta kemarahan yang lebih meluas terhadap sistem politik.
Semasa pergolakan lalu, cawangan konservatif menumpukan perhatian terhadap serangan simbol-simbol sensitif seperti bangunan keagamaan sebagai cara untuk mencemarkan protes.
Video di media sosial beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan orang melaungkan “Kematian kepada diktator”, tetapi sukar untuk mengesahkan dan pihak berkuasa mendakwa dipromosikan oleh kumpulan pembangkang yang dibiayai oleh Amerika Syarikat, Israel dan Arab Saudi.
Menyifatkan serangan pada Jumaat malam, Hindiani berkata: “Orang-orang ini datang dengan batu dan memecahkan tanda dan semua tingkap rumah ibadat dan melaungkan menentang sistem.”
Media asing dihalang daripada memerhati atau merakamkan protes tanpa izin.
Video di media sosial menunjukkan protes ini jauh daripada skala rusuhan yang dilihat pada Disember dan Januari, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam demonstrasi yang merebak ke puluhan pekan dan bandar. – AFP, 4 Ogos, 2018.
Komen