SERAMAI 55 orang awam dilaporkan maut, manakala puluhan lagi cedera dalam beberapa letupan yang berlaku di bandar pelabuhan Hodeida, Yaman yang dikuasai pemberontak.
“Keadaan di lokasi kejadian letupan masih tidak diketahui, tetapi insiden ini disifatkan sebagai tidak menghormati nyawa dan harta orang awam,” kata ketua delegasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) Yaman, Johannes Bruwer dalam satu kenyataan, semalam.
ICRC berkata beberapa insiden letupan di daerah berhampiran pantai itu, termasuk di pasar ikan dan kawasan sekitar Hospital Al-Thawra menyebabkan 55 orang awam maut, manakala 170 lagi cedera.
“Dua ambulans turut musnah,” katanya.
Pada Khamis lalu, pasukan perubatan dan saksi melaporkan, sekurang-kurangnya 20 terkorban dalam serangan udara di pintu masuk hospital dan pengeboman di pasar ikan di Hodeida.
“Kejadian di Hodeida amat mengerikan. Insiden ini tidak boleh diterima kerana ia tidak menghiraukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dikuatkuasakan di Yaman,” kata Bruwer. – AFP, 4 Ogos, 2018.
Komen