SEORANG wanita yang memakai penutup wajah, berpurdah atau niqab menjadi wanita pertama di Denmark didenda kerana melanggar undang-undang baharu kontroversi yang melarang pemakaian niqab di tempat awam.
Polis bergegas ke sebuah pusat beli-belah di Horsholm, di utara wilayah Nordsjaelland, di mana wanita berusia 28 tahun itu terbabit dalam pergaduhan dengan seorang wanita lain yang cuba menarik niqabnya, kata pegawai polis David Borchersen.
“Ketika pergelutan itu, purdahnya terbuka, tetapi ketika kami sampai beliau sudah memakainya semula,” kata Borchersen.
Polis mengambil gambar wanita memakai purdah, dan mendapatkan rakaman video keselamatan berkaitan insiden itu.
Wanita berkenaan dimaklumkan beliau akan dikenakan denda 1,000 kroner (AS$156, 134 euro) dan diarahkan membuka purdah itu atau tidak berada di tempat awam.
Wanita itu kemudian berlalu dari tempat awam.
Bermula 1 Ogos, memakai burqa yang menutup keseluruhan wajah, atau purdah yang hanya menunjukkan mata, di tempat awam adalah salah dan boleh didenda 1,000 kroner.
Jika kesalahan berulang, mereka boleh didenda sehingga 10,000 kroner.
Larangan itu juga terpakai kepada aksesori yang menutup wajah seperti topeng dan janggut palsu.
Aktivis hak asasi manusia mengecam larangan itu kerana melanggar hak wanita, bagaimanapun mereka yang menyokong undang-undang itu berkata ia membolehkan integrasi lebih bak antara pendatang beragama Islam dalam masyarakat Denmark.
Belgium, Perancis, Jerman dan Austria turut mengenakan larangan itu. – AFP, 4 Ogos, 2018.
Komen