Anwar tak muncul di Sg Kandis, khabar angin hubungan retak dengan Azmin


Presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail, timbalannya Azmin Ali hadir berkempen untuk calon mereka di PRK Sg Kandis di Taman Sri Andalas, Klang malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Ogos, 2018.

CERAMAH terakhir Pakatan Harapan (PH) di Sungai Kandis habis awal malam tadi selepas empat penceramah tidak hadir, termasuk Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Anwar yang juga suaminya tidak dapat datang kerana beliau tidak sihat.

“Saya ingin menyampaikan salah suami saya kepada semua yang ada di sini. Beliau sepatutnya di sini malam ini, tetapi kita doalah untuk dia. Dia di sini dua malam sebelum ini,” kata Dr Wan Azizah, yang juga timbalan perdana menteri.

Beliau menggantikan Anwar sebagai penceramah utama di program terakhir kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis di Taman Sri Andalas.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Menteri Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar antara pemimpin PKR yang turut menyampaikan ucapan pada program itu.

Anwar memulakan siri kempennya sebaik saja kembali dari Turki di mana beliau menjalani rawatan di bahu dan pinggulnya. Beliau membuat lawatan pertama di kawasan itu pada program ceramah malam Selasa lalu di Jalan Kebun.

Tiga lagi pemimpin PH yang tidak hadir malam tadi ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP, Menteri Pertahanan yang juga Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Lim tidak hadir kerana terpaksa pulang ke Pulau Pinang, sementara Mohamad berada di Langkawi untuk menghadiri program bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Tiada penjelasan tentang ketidakhadiran Nurul Izzah.

Anwar tidak hadir ketika khabar angin kuat mengatakan wujud pergeseran antaranya dengan Azmin.

Beberapa klip video muncul di media sosial, di mana suara dikatakan milik Anwar kedengaran menghentam Azmin dan Dr Mahathir. Anwar menafikan itu suaranya.

Anwar dikatakan akan mengambil alih jawatan presiden PKR daripada Dr Wan Azizah pada pemilihan akan datang, tetapi khabar angin mengatakan Azmin mungkin mencabar mentornya itu bagi jawatan berkenaan.

Azmin masih belum mengumumkan sama ada akan bertanding jawatan tertinggi itu atau mempertahankan kerusi timbalannya, di mana beliau akan berdepan cabaran kuat daripada naib presiden Rafizi Ramli. Ramai yang percaya Rafizi mendapat sokongan Anwar untuk melawan Azmin.

Azmin duduk di sebelah Dr Wan Azizah sepanjang program malam tadi, dan kelihatan tidak begitu banyak berbual antara satu sama lain.

Pengundi di Sungai Kandis akan membuang undi hari ini. Kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai.

Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan melawan calon Barisan Nasional, Lokman Noor Adam dan calon bebas K. Murthy. – 4 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • tak perlu la nak buat sebarang spekulasi.. mungkin betul dsai tak sihat.. pkr kan mengamalkan politik yang matang dan terbuka.. jadi takde salah pun untuk sesiapa bertanding untuk apa-apa jawatan sekalipun.. hentikanlah sebarang spekulasi seperti ini.. ia boleh mengelirukan rakyat.. lgpun azmin sendiri takde putuskan lagi yang beliau nak bertanding dalam mana-mana jawatan..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan