Ahli Parlimen pembangkang berang soalan berkenaan 1MDB ditolak


Diyana Ibrahim

SIDANG Dewan Rakyat kecoh pagi ini apabila ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan tindakan speaker Pandikar Amin Mulia yang menolak lebih 30 soalan, antaranya mengenai saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berhubung skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pertama sekali bangun mempersoalkan tindakan speaker itu.

“Saya tanya adakah kerajaan bersedia membentangkan kertas putih campur tangan asing berkaitan dana 1MDB tapi ditolak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang soalannya turut ditolak berkata beliau cuma bertanya tentang status siasatan 1MDB.

“Soalan saya cuma tanya pasal siasatan. Kalau kita tak boleh tanya dekat Parlimen, kita nak tanya dekat mana.

“Ini Parlimen, kamu tidak boleh cuba untuk melindungi, kamu tidak boleh menghalang kami untuk terus tanya soalan,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media Wan Azizah yang juga ketua pembangkang berkata antara alasan penolakan tersebut ialah ia berbentuk andaian atau tujuan mendapat buah fikiran serta berbentuk tohmahan dan menyakitkan hati.

Wan Azizah berkata beliau kesal apabila keistimewaannya sebagai ketua pembangkang yang membolehkan soalannya diletakkan senarai teratas Parlimen tidak dapat diguna pakai.

“Parlimen dinafikan daripada mendapat jawapan rasmi kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, barisan ahli Parlimen pembangkang sebulat suara memutuskan untuk mengemukakan usul menentang keputusan speaker di bawah Peraturan 99 Mesyuarat Dewan Rakyat. – 24 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen