SEKURANG-kurangnya 20 orang terbunuh dan 50 yang lain cedera, dalam serangan udara oleh tentera gabungan diketuai Arab Saudi, di pelabuhan Hudaydah, Yaman pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.
Serangan di pasar ikan popular di pelabuhan Laut Merah itu, hanya terletak kira-kira lima meter dari pintu utama Hospital al-Thawra, kata seorang pegawai perubatan yang enggan dikenali.
“Mayat bergelimpangan dan mangsa yang cedera terperangkap kerana pasukan penyelamat tidak dapat ke lokasi kejadian memandangkan serangan bertalu-talu dari arah udara dan laut,” katanya pada Jumaat.
Serangan udara terbaru dilancarkan pihak pakatan itu mensasarkan pemberontak Houthi.
Minggu lalu, serangan udara mengorbankan lima sekeluarga di utara wilayah Saada.
Yaman terus dicengkam konflik perang saudara sejak pemberontak Houthi menewaskan tentera Yaman dan merampas wilayah utara pada tahun 2014, termasuk bandar Sanaa.
Arab Saudi yang mengetuai gabungan mula campur tangan sejak 2015 untuk menyokong kerajaan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang digulingkan.
Lebih 10,000 rakyat Yaman kebanyakan orang awam terbunuh dan kira-kira tiga juta lagi terpaksa melarikan diri. – Bernama, 3 Ogos, 2018.
Komen