SERAMAI 31 suspek ditahan pasukan keselamatan Myanmar di Maungtaw, utara Rakhine pada hujung minggu lalu kerana didapati mengadakan pertemuan rahsia di sebuah kampung di Kyauk Hlaykha untuk merancang melancarkan serangan keganasan.
Hasil maklumat, pasukan keselamatan bertindak menyerbu tempat pertemuan itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita Myanmar.
Ketika serbuan dilakukan, seorang daripada suspek cuba menyerang anggota pasukan keselamatan dengan bersenjatakan pisau namun berjaya ditumpaskan.
Semua suspek kini disiasat untuk memastikan sama ada mereka mempunyai kaitan dengan mana-mana organisasi pengganas.
Sehari sebelum itu, sembilan suspek ditahan kerana disyaki membunuh seorang pemimpin masyarakat di bandar Buthidaung di negeri sama pada 4 Julai.
Sejak Oktober hingga Julai lepas, serangan keganasan yang berlaku di Buthidaung dan Maungtaw mengakibatkan 44 orang awam terbunuh dan 27 lagi diculik.
Sehubungan itu, amaran berjaga-jaga dikeluarkan pasukan keselamatan di daerah Maungtaw.
Konflik juga menyebabkan ratusan penduduk di Rakhine melarikan diri.
Kenyataan Penasihat Keselamatan Negara baru-baru ini berkata pihak tentera menemui bukti wujudnya peningkatan aktiviti keganasan sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan penemuan terowong rahsia, senjata api dan kem latihan pengganas di Gunung Mayu, Buthidaung-Maungtaw. – Bernama, 24 Julai, 2017.
Komen