Persatuan belia perlukan rombakan menyeluruh 


UNTUK memberikan nafas baru kepada gerakan persatuan belia, saya percaya satu rombakan dan pembaharuan komprehensif perlu dilaksanakan.

Saya telahpun mencadangkan proses neutralisasi pertubuhan belia supaya tidak lagi diterajui oleh individu dari mana-mana parti politik, tidak kira dari pihak kerajaan ataupun pembangkang. Namun, saranan ini mendapat pertikaian daripada pelbagai pihak.

Pertikaian ini wujud kerana masih terdapat banyak persatuan belia utama yang diterajui oleh kepimpinan muda Umno.

Mereka bukan sahaja menggunakan platform persatuan untuk mempromosikan parti tetapi lebih dari itu, menggunakan persatuan sebagai jentera dalam kempen Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Tindakan yang tidak beretika ini adalah bertentangan dengan matlamat asal kewujudan persatuan belia tersebut. Malah, persatuanpersatuan belia ini bersifat berat sebelah apabila hanya bertindak menyokong parti-parti politik tertentu sahaja.

Contohnya, GPMS menyokong perbuatan mengibarkan bendera Umno oleh kanak-kanak di sekolah. Presiden Belia 4B Malaysia pula dengan secara terbuka, ketika merasmikan Mesyuarat Belia 4B di Terengganu, menyatakan, “ketahuilah hadirin sekalian, wujudnya, adanya dan lahirnya persatuan belia ini dari sayap parti Umno yakni Pergerakan Pemuda Umno Malaysia’ Persatuan-persatuan belia seperti ini juga berdiam diri apabila anak muda ditindas di bawah kerajaan terdahulu - sebagai contoh apabila saudara Hanif Mahpa dan saudari Afiqah Zulkifli digantung pengajian hanya kerana ingin mengaturkan ceramah GST di Universiti.

Ini jelas menunjukkan sikap ‘favouritism’ dan sikap memperjuangkan kepentingan peribadi. Adalah menjadi matlamat saya untuk mengembalikan kuasa kebebasan bersuara kepada Persatuan Belia - agar mereka berani untuk menegakkan kebenaran dan tidak menjadi anak patung kawalan mana-mana parti politik termasuk parti komponen Pakatan Harapan.

Kementerian Belia dan Sukan akan mengeluarkan pelan lengkap bagi merombak semula persatuan belia di negara ini.

Antara aspek yang akan ditekankan dalam pelan itu nanti adalah;

1. Memastikan NGO belia bebas bersuara dan mengkritik mana-mana pihak, dan tidak mempunyai ahli jawatankuasa tertinggi yang memegang jawatan dalam parti politik.

2. Diterajui oleh belia sepertimana yang digariskan dalam Dasar Belia Malaysia.

Langkah-langkah penggubalan undang-undang sedang dilakukan agar pendefinisian semula had umur belia daripada 40 tahun ke 30 tahun dapat dikuatkuasakan (Masa transisi 35 ke 30).

Ingin saya tegaskan di sini bahawa apabila saya menyebut persatuan belia tidak patut menjadi macai politik di Parlimen semalam, ia bukanlah ditujukan kepada semua persatuan belia ataupun semua pihak dalam persatuan tersebut, tetapi hanya segelintir sahaja, khususnya pimpinannya. Saya akui akan peranan besar yang dilaksanakan oleh pertubuhan belia.

Saya juga yakin, masih banyak pertubuhan dan ahli akar umbi yang mendukung agenda perjuangan belia yang luhur dan sejati. Kepada mereka saya ucapkan terima kasih dan persatuan belia seumpama ini akan terus kita angkat dan raikan.

Pintu pejabat saya juga sentiasa terbuka untuk para belia di peringkat akar umbi datang berbincang tentang segala aspek berkaitan pembangunan belia. 
KBS bertekad untuk memperkasakan lagi persatuan belia. Dengan pemerkasaan persatuan belia, saya percaya tiada lagi anak muda yang akan diabaikan.
Youth Power. – 3 Ogos, 2018

* Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen