GPMS perlu bangkit, jangan bersifat 'defensif'


RENTETAN isu ‘macai politik’ yang disebut oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang Parlimen semalam, pertama sekali saya ingin mengambil pendirian untuk menyatakan kepada beliau selaku insan yang pernah melibatkan diri dalam pergerakan belia bahawa ‘bukan semua mereka dalam pertubuhan belia malah dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu sendiri merupakan macai politik!’.

Tidak dinafikan seperti Syed Saddiq sendiri maklum, oleh kerana pertubuhan belia dinaungi Kementerian Belia dan Sukan, lumrah mana-mana badan dalam pergerakan belia mempunyai kecenderungan terhadap satu parti semata ditambah tanah tercinta selama ini tidak pernah melalui pertukaran kerajaan. Oleh itu, bukan sahaja kecenderungan malah doktrin parti pemerintah kerajaan terdahulu telah terbiasa dan berakar dalam pergerakan belia. 

Sehingga ramai pemimpin pergerakan belia lupa bahawa biarpun dinaungi kerajaan, ianya perlu bersifat ‘non-partisan’ atau mungkin meraih pelbagai perbezaan demi menjaga kemaslahatan gagasan pemikiran (idealisme) manusiawi sekaligus memelihara keharmonian dalam kalangan belia di Malaysia. 

Pun begitu ditekankan sekali lagi bahawa tidak semua anggota pergerakan belia itu menggunakan pentas belia sebagai alat kepada parti politik dan pihak Syed Saddiq perlu lebih spesifik dan tidak boleh pukul rata.

Tidak dinafikan pula, terdapat pemimpin-pemimpin ‘tertinggi’ belia selaku sebuah ‘NGO’ yang seharusnya bersifat ‘non-partisan’ nyata memacu pertubuhan belia selaku kuda tunggangan politik demi agenda peribadi mereka sama ada dari sudut kepentingan politik peribadi berunjur kedudukan ataupun demi biaya untuk kelangsungan pertubuhan.

Malah ada yang diyakini disalahguna sehingga masuk ‘kocek sendiri’, menyebabkan pemimpin tertinggi selaku pemuka pertubuhan tidak bersifat telus dalam komentar dan kritikan atau sekadar bersifat kosmetik.

Mengambil contoh GPMS, saya bersetuju dengan kenyataan bahawa GPMS merupakan gedung melahirkan pemimpin. Ini tidak boleh dinafikan, namun tidak menerima teguran dari Syed Saddiq dengan naratif terbuka supaya tidak menjadi ‘macai politik’ dan bersifat ‘defensif’ atas seruan baik beliau untuk memastikan setiap pertubuhan belia samada lebih ‘neutral’ atau penuh warna-warni dan tampak bebas adalah tidak wajar sama sekali.

Hasrat Syed Saddiq nyata baik demi memacu variasi dalam pergerakan belia dan tidak bersifat bias, ini seharusnya disambut baik oleh semua pergerakan termasuk GPMS sendiri untuk tidak dikekang pergerakan mereka dan mampu menjadi ‘check and balance’ dalam agenda memperkasa belia. Di samping tidak lagi kelihatan mereka yang bukan sahaja ‘macai’ malah ‘kaki jilat’ kepimpinan negara.

GPMS tidak boleh sentiasa bersifat ‘defensif’ juga sekadar reaktif dan tidak konstruktif dalam mengemukakan hujah. Ini adalah merupakan sebuah pertubuhan yang wajib menjadi medan intelektual khususnya bagi orang Melayu malah telah melahirkan pemimpin hebat disaksi zaman seperti Abdullah Ayub, Dr Syed Hussin Ali, Khalid Ibrahim, Nordin Kardi selain bekas presiden Abdullah Ahmad Badawi dan antara pengasas awalnya iaitu Aminuddin Baki, Siti Hasmah Mohd Ali dan Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Malah institusi ini (GPMS) yang telah banyak membentuk jati diri saya untuk menjadi Melayu membangun dengan semangat nasionalisme yang tinggi dan juga berani menyatakan kebenaran kesan didikan para adiguru saya di dalam GPMS. Inilah kebanggaan yang hakikatnya saya bawa di mana-mana selama perjuangan malah dalam kepartian. Terima kasih guru-guru saya di dalam GPMS, kalian tahu siapa kalian.

GPMS harus lekas bangkit dan beradaptasi seperti saranan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada majlis Srikandi GPMS baru-baru ini. Dengan suasana politik tanahair yang telahpun dirombak, sebegitu juga tampuk kepimpinan GPMS perlu direjuvenasi dan dirombak dari segi struktur dengan tidak boleh terlalu emosi dan melompat hanya kerana nama GPMS ‘dipetik’!.

Sedang apa yang diperkatakan oleh Syed Saddiq ada kebenarannya dan ahli sendiri sedar bahawa kepimpinan GPMS sedia ada menerusi presidennya secara nyata telah membawanya ke kancah ‘partisan’ dan sokongan bersifat tunggal hingga mematikan jiwa penubuhan GPMS yang digagaskan bahawa; “SEDAR atas perlunya disatukan sekalian tenaga pelajar Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu”

GPMS hari ini perlu memastikan anak muda semakin diperkasakan sesuai dengan peruntukan menghadapi Revolusi Industri 4.0 di samping melihat jauh, kemungkinan perubahan had umur belia bawah 35 tahun dalam dasar kementerian dan saya yakin GPMS rata-ratanya masih belum bersedia untuk memastikan belia yang berani dan terampil untuk mewarisi legasi perjuangan gabungan keramat ini.

Kerana itu GPMS perlu dirombak, bukan diwakili oleh pimpinan tertinggi yang hanya rela menjadikan GPMS sebagai alat politik suatu parti semata lebih dari memikirkan soal menyatukan anak bangsa dengan penuh warna-warni idealisme dan menggerakkan revolusi mental pemerkasaan sosio-ekonomi dalam kalangan jiwa Melayu hari ini. 

GPMS tidak perlu lagi pimpinan yang ‘tidak berprinsip’ dan terbukti hanya sekadar ‘yes man’ dalam segenap hal. Minda Melayu perlu dicabar, Melayu perlu bangkit!

* Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah exco Pemuda Bersatu (Pendidikan). 


 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen