TENTERA Jordan telah membunuh beberapa militan Daesh ketika cuba mendekati kawasan negara itu yang bersempadan dengan Syria, lapor agensi berita China Xinhua pada Jumaat.
Menurut kenyataan tentera pada Khamis, pasukan keselamatan telah melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pejuang Daesh pada Selasa ketika mereka cuba melintasi sempadan Jordan.
“Pasukan tentera telah membunuh ramai militan dan memaksa yang lain untuk kembali ke sempadan di sebelah negara Syria,’’ menurut kenyataan itu tanpa mendedahkan jumlah sebenar mangsa yang maut.
Beberapa anggota Daesh cuba melintasi sempadan Jordan selepas kerajaan Syria memulakan serangan ke atas kumpulan-kumpulan militan di kawasan berhampiran lembah Yarmuk.
‘’Tentera Jordan akan terus mengambil semua langkah untuk melindungi keselamatan negara dan mencegah anggota kumpulan pengganas daripada memasuki Jordan,’’ menurut kenyataan itu.
Sejak 2011, Jordan telah mematahkan beberapa percubaan kumpulan pengganas untuk menyusup masuk atau menyeludup senjata api dan dadah ke negara itu. – Bernama, 3 Ogos, 2018.
Komen