Pompeo desak Turki bebaskan pastor warga AS


Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo berkata sekatan negara itu terhadap Turki merupakan tanda Washington serius menuntut pembebasan seorang pastor warganya yang mencetuskan krisis diplomatik. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2018.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata sekatan negara itu terhadap Turki merupakan tanda Washington serius menuntut pembebasan seorang pastor warganya yang mencetuskan krisis diplomatik.

Andrew Brunson, ketua gereja Protestan di bandar Izmir, diletakkan di bawah tahanan rumah selepas hampir dua tahun dipenjarakan atas tuduhan mengintip dan menyokong kumpulan pengganas.

Washington menyekat dua pegawai tinggi Turki berhubung penahanan Brunson sehingga menyebabkan Ankara mengancam untuk bertindak balas.

Pompeo membuat kenyataan tersebut sebelum megandakan pertemuan dengan Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu pada forum keselamatan serantau di Singapura hari ini.

Beliau memberitahu pemberita: “Orang-orang Turki maklum… sudah sampai masanya Pastor Brunson dipulangkan.”

Berkenaan sekatan itu, Pompeo berkata: “Saya harap mereka lihat ini sebagai demonstrasi bahawa kami amat serius.”

“Brunson perlu pulang, begitu semua rakyat Amerika yang ditahan oleh kerajaan Turki,” tambahnya. 

“Mereka telah menahan orang-orang ini sekian lama. Mereka tidak bersalah.”

Dua rakyat Turki yang bekerja di konsulat AS di negara itu juga dipenjarakan sekarang ini atas dakwaan keganasan dan seorang lagi ditahan di bawah tahanan rumah, manakala beberapa rakyat AS ditangkap dalam satu tindakan keras susulan rampasan kuasa yang gagal pada 2016. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen