MOSCOW merancang untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam setiap bidang dengan negara Asean, kata Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat antara Menteri Rusia dengan Asean di Singapura pada Khamis.
“Hari ini, kami akan mempertimbangkan langkah selanjutnya bagi meningkatkan kerjasama strategik antara Rusia dan Asean, selari dengan keputusan yang dibuat pada sidang Kemuncak Sochi pada Mei 2016,” lapor agensi berita Rusia, TASS.
“Kami juga menyambut baik kemajuan dalam setiap bidang hasil jalinan kerjasama dengan Asean,” kata diplomat terkemuka Rusia itu.
Singapura menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri Luar Asean pada Khamis selain mesyuarat menteri Rusia-Asean, Jepun-Asean dan China-Asean.
Sementara itu, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang melibatkan 10 negara Asean serta Rusia, Australia, India, China, New Zealand, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun, dijadual berlangsung pada Sabtu.
Pada hari sama, satu sesi forum keselamatan serantau Asean turut diadakan. Pemimpin Korea Utara dijangka menghadiri acara tersebut. – Bernama, 3 Ogos, 2018.
Komen