PERSONALITI televisyen Mahadzir Lokman, 61, yang mula terkenal sebagai pembaca berita TV3, meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah, lapor Utusan Online.
Pemergian beliau disahkan oleh adik perempuannya, Ida Lokman.
“Saya kini sedang bergegas ke Kota Kinabalu untuk menguruskan jenazah,” kata adik allahyarham, seperti dipetik Utusan Online.
Wartawan Utusan, Shaharuddin Mustapa sebelum itu memaklumkan berita duka itu melalui akaun Instagramnya.
“Al-Fatihah… sahabat saya Datuk Mahadzir Lokman @dmlokman meninggal dunia di Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi. Berita disahkan oleh adiknya, Ida Lokman kpd saya sebentar tadi,” tulis wartawan kanan itu.
Pada September tahun lalu, Mahadzir dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya akibat komplikasi darah tinggi dan kencing manis. Beliau koma hampir 4 hari.
Beliau yang juga mesra disapa dengan nama Dale oleh mereka yang rapat dengannya, selalu muncul sebagai pengacara majlis termasuk acara rasmi kerajaan. Selain pengalaman luasnya dalam soal protokol dan budaya, khidmat Mahadzir dicari kerana beliau menguasai banyak bahasa.
Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Mahadzir juga fasih dalam Bahasa Perancis yang dikuasainya sejak masih sekolah rendah. Keluarganya juga pernah menetap di Paris semasa bapanya berkhidmat sebagai diplomat di Unesco antara hujung dekad 1970-an dan awal 1980-an.
Beliau juga ada kemahiran asas dalam beberapa bahasa asing lain termasuk Sepanyol, Jepun, Itali dan Portugis.
Beliau pernah pada suatu masa membayangkan mahu menguasai tiga lagi bahasa asing: Arab, Mandarin dan Hindi.
“Umur tidak harus jadi penghalang (untuk belajar bahasa asing),” katanya, dipetik akhbar The Star pada 2006.
Mahadzir memulakan kerjaya sebagai wartawan televisyen di TV3 pada 1984, menyampaikan berita dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Sepanjang kariernya dengan stesen penyiaran itu, beliau pernah mengendalikan beberapa program popular terbitan TV3 antaranya bual bicara Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI), dan Melodi. – 3 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh [email protected] · Ulasan