SEORANG wanita disyaki perisik Rusia bekerja di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Moscow selama satu dekad sebelum secara senyap-senyap dipecat tahun lepas, kata laporan semalam.
Wanita itu, seorang warga Rusia, diambil bekerja oleh Perkhidmatan Rahsia dan disyaki perisik susulan pemeriksaan keselamatan rutin yang dijalankan oleh Jabatan Negara, menurut sumber yang dipetik oleh Guardian, yang mendedahkan berita itu, dan CNN.
Siasatan mendapati beliau mengadakan pertemuan tanpa izin secara tetap dengan agensi perisikan utama Rusia, FSB.
“Kami rasa mereka semua berhubung dengan FSB, tetapi beliau memberi mereka lebih banyak maklumat daripada yang sepatutnya,” kata seorang pegawai kepada CNN.
Wanita itu mempunyai akses intranet dan sistem e-mel Perkhidmatan Rahsia, kata laporan itu, memberi laluan kepada data berpotensi sensitif termasuk jadual presiden dan wakil presiden AS.
Tetapi “beliau tidak mempunyai akses kepada maklumat yang sangat sulit,” kata sumber kepada CNN.
Sementara itu, The Guardian melaporkan Perkhidmatan Rahsia cuba menutup malu dengan melepaskannya ketika Rusia mengarahkan pemecatan 750 kakitangan kedutaan AS semasa perselisihan diplomatik susulan tuduhan campur tangan Moscow pada pilihan raya presiden AS 2016.
“Perkhidmatan Rahsia cuba menyembunyikan kejadian itu dengan memecat [beliau],” kata seorang sumber kepada akhbar British.
“Perkara sudah berlaku tetapi pengurusan kanan Perkhidmatan Rahsia tidak menjalankan sebarang siasatan dalaman untuk menilai kerosakan tersebut dan melihat jika [beliau] merekrut pekerja lain untuk memberikan lebih banyak maklumat.”
Ditanya oleh AFP, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata mereka sedang melihat laporan itu tetapi tidak mengulas mengenai hal risikan. – AFP, 3 Ogos, 2018.
Komen