BN mungkin menang PRU14 jika pemimpin tidak panik


Gan Pei Ling

BN sepatutnya minta kiraan semula dijalankan di kerusi yang jumlah undi kekalahan tipis pada PRU14, kata Ahli Parlimen Tapah M Saravanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2018.

BARISAN Nasional (BN) mungkin menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika gabungan itu meminta pengiraan semula dijalankan di kerusi yang kalah tipis, kata Ahli Parlimen Tapah yang juga ahli jawatankuasa pusat MIC, M Saravanan.

“Mereka (Pakatan Harapan) tidak menang besar di kerusi yang kalah tipis. Jika kita tidak panik, jika kita minta kira semula di tempat yang kita kalah tipis, kita mungkin menang,” kata bekas timbalan menteri itu ketika berceramah di Taman Sri Andalas, Klang malam tadi.

BN hilang kuasa kerajaan persekutuan buat pertama kalinya dalam sejarah apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU14, 9 Mei lalu.

PH menang dengan 113 kerusi sementara sekutunya Warisan di Sabah menang lapan kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya dikecam kerana lewat mengumumkan keputusan pilihan raya.

PAS, yang pada mulanya mahu jadi kingmaker dalam PRU14 jika berlaku Parlimen tergantung, hanya menang 18 kerusi.

Saravanan sendiri kekal di Tapah dengan majoriti tipis 614 undi berbanding 7,927 undi yang diperolehnya pada 2013.

Wakil rakyat tiga penggal itu berkata BN terima kekalahan itu dengan terhormat.

“Kami tidak kata lampu dipadam. Kami tidak kata SPR tidak telus,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan berkata walaupun ia ketentuan Tuhan apabila PH menang, mereka melakukannya dengan penipuan.

Katanya, jika PH kalah mereka sudah pasti berdemonstrasi di jalanan untuk memprotes, tetapi pemimpin BN hanya pulang ke rumah.

“Tidak ada kekecohan. BN tunjuk tahap kemanusiaan yang tinggi,” kata bekas pemimpin PKR itu yang kembali menyertai MIC. – 3 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • adat bertanding ada kalah ada menang, rakyat yang menentukan segalanya.. mungkin rakyat inginkan merasai perubahan disebabkan itulah mereka memilih parti lain untuk memajukan negara

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan