PEMIMPIN kumpulan memerangi wabak HIV antarabangsa menggesa kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi penderma terbesar penyelidikan dan rawatan AIDS dunia supaya menolak tindakan kejam Presiden Donald Trump mengurangkan sumbangan dana.
Mereka berkata kekurangan sumbangan dana itu akan menyebabkan banyak kematian.
“Penderma terbesar dan paling penting HIV mengancam untuk mengurangkan dana program penyelidikan dan rawatan. Pengurangan sumbangan kepada penyelidikan dan HIV ialah bencana yang sepatutnya tidak berlaku,” kata Presiden Persatuan AIDS Linda-Gail Bekker di persidangan sains HIV global di Paris.
Lebih 6,000 saintis berhimpun di ibu negara Perancis, sehingga Rabu ini untuk menilai kemajuan sains AIDS, ketika wujud kebimbangan dana kian berkurangan.
Yayasan Keluarga Kaiser, sebuah NGO dasar kesihatan di California berkata dana hasil derma kerajaan di seluruh dunia untuk HIV susut tahun lalu kepada paras terendah sejak 2010 daripada AS$7.5 bilion (RM32.13 bilion) pada 2015 kepada AS$7 bilion (RM29.98 bilion).
Sejak bertahun-tahun, AS penyumbang terbesar dalam usaha global memerangi jangkitan HIV dengan sumbangan mewakili dua per tiga daripada penderma kerajaan.
Bagaimanapun, bajet dicadangkan Trump yang dihantar Mei lalu mengurangkan sumbangan dana kepada beberapa program kesihatan dunia termasuk HIV dan AIDS dengan harapan penyumbang lain meningkatkan komitmen sumbangan mereka. – AFP, 24 Julai, 2017.
Komen