PRESIDEN Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa, bekas sekutu Robert Mugabe, memenangi pilihan raya negara itu menurut keputusan pada awal Jumaat.
Mnangagwa memenangi 50.8% undi, mendahului Nelson Chamisa daripada parti pembangkang MDC pada 44.3%, kata Suruhanjaya Pilihan Raya Zimbabwe (ZEC).
“Mnangagwa, Emmerson Dambudzo daripada parti ZANU-PF diisytiharkan sebagai presiden terpilih republik Zimbabwe,” kata Ketua ZEC Priscilla Chigumba.
Zimbabwe bersiap sedia dengan reaksi orang ramai terhadap keputusan pilihan raya - yang pertama sejak penyingkiran Robert Mugabe - yang mencetuskan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.
Enam orang terbunuh pada Rabu apabila tentera melepaskan tembakan kepada penunjuk perasaan MDC yang mendakwa pilihan raya tidak adil.
Tentara dan polis membersihkan Harare pada Khamis, mengarahkan pejalan kaki dan peniaga meninggalkan kawasan itu, ketika Pergerakan Perubahan Demokratik (MDC) terus mendakwa ZANU-PF menipu dalam pilihan raya itu.
Beberapa saat sebelum pengumuman rasmi, jurucakap MDC, Morgan Komichi mengecam keputusannya sebagai “palsu” selepas beliau naik ke pentas di pusat keputusan ZEC. – AFP, 3 Ogos, 2018.
Komen