JABATAN Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengenakan sekatan terhadap menteri keadilan dan menteri dalam negeri Turki, lapor agensi berita Xinhua.
Tindakan itu berikutan AS menuduh menteri berkenaan berperanan dalam kes seorang paderi AS yang ditahan di Turki.
Melalui kenyataan perbendaharaan, Menteri Keadilan Abdulhamit Gul dan Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu “memainkan peranan utama dalam kes penangkapan dan penahanan paderi Andrew Brunson.”
“Penahanan paderi Brunson sesuatu yang tidak boleh diterima. Presiden Donald Trump jelas menyatakan yang AS berharap Turki membebaskannya secepat mungkin,” kata Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin.
Brunson, 50, paderi Kristian, ditahan dua tahun lalu di Turki atas tuduhan mengintip dan berdepan hukuman 35 tahun penjara jika didapati bersalah.
Beliau didakwa mempunyai hubungan dengan Parti Pekerja Kurdistan dan Organisasi Pengganas Fethullah Gulen, yang dituduh sebagai dalang di sebalik rampasan kuasa yang gagal pada 2016 untuk menjatuhkan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Mahkamah Turki pada minggu lepas memerintahkan Brunson dipindahkan dari penjara kepada tahanan rumah atas faktor kesihatan, namun masih tidak dibenarkan meninggalkan Turki.
Dengan sekatan itu, segala harta menteri berkenaan akan disekat, dan melarang rakyat AS melakukan sebarang transaksi dengan mereka.
Jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders dalam satu taklimat media berkata, Trump sebelum ini pernah berbincang “beberapa kali” dengan rakan sejawatannya, Erdogan, sambil mengatakan “beliau tidak senang dengan keputusan Turki untuk tidak membebaskan Brunson.”
Sementara itu, Turki dalam kenyataan balas menegaskan sekatan AS itu “tidak patut dan tidak boleh diterima sama sekali”.– Bernama, 2 Ogos, 2018.
Komen