MAHKAMAH Agung India pada Rabu enggan menjadikan kesalahan berzina sebagai satu jenayah neutral jantina yang boleh menyebabkan wanita terlibat turut dihukum, lapor agensi berita China Xinhua.
Ketika ini, berdasarkan undang-undang India, seorang wanita tidak boleh dihukum bagi kesalahan berzina.
Hanya lelaki yang melakukan perbuatan itu dengan persetujuan isteri orang tanpa mendapat izin suaminya boleh dihukum bagi kesalahan ini di India.
Hukuman maksimum bagi kesalahan berzina di India ialah penjara lima tahun.
Meskipun memutuskan untuk tidak menjadikan wanita sebagai pesalah di bawah undang-undang, panel hakim Mahkamah Perlembagaan yang diketuai Ketua Hakim India Dipak Misra, bagaimanapun, bersetuju untuk meneliti sama ada zina harus dianggap sebagai kesalahan jenayah jika seorang lelaki melakukan perbuatan itu, ketika mendengar petisyen berhubung isu tersebut pada Rabu.
“Kami akan meneliti isu lebih besar iaitu sama ada kesalahan itu sendiri harus kekal dalam buku statut atau tidak. Kami akan menguji sama ada kesalahan ini melanggar hak untuk kesaksamaan,” kata mahkamah selepas mendengar rayuan bagi mencabar undang-undang berkaitan zina yang difailkan oleh bukan pemastautin India.
Seksyen 497 Kanun Keseksaan India adalah berkaitan penzinaan.
Ia memperuntuk “sesiapa yang melakukan hubungan seks dengan seorang wanita yang dan diketahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa beliau adalah isteri lelaki lain, tanpa mendapat izin atau kerjasama secara diam-diam lelaki itu, dan persetubuhan itu tidak terjumlah kepada kesalahan merogol, adalah bersalah melakukan penzinaan.”
Menurut undang-undang itu, pesalah “hendaklah dihukum dengan pemenjaraan sama ada bagi tempoh sehingga lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.”
Bagaimanapun, dalam kes sedemikian, si isteri tidak boleh dihukum sebagai rakan subahat, menurut undang-undang itu.– Bernama, 2 Ogos, 2018.
Komen