KEMAJUAN dalam usaha menentang wabak Aids berdepan risiko apabila pembiayaan dijangka dikurangkan dalam cadangan projek kesihatan gobal Donald Trump, amaran pakar dan aktivis sebelum persidangan HIV dunia bakal berlangsung.
Jika diterima Kongres, bajet 2018 Trump akan menghalang sebilangan 830,000 orang terutamanya di Afrika daripada mendapatkan ubat anti-Aids yang boleh menyelamatkan nyawa mereka, menurut pengiraan Kaiser Family Foundation (KFF), NGO kesihatan berpangkalan di California.
“Kita akan melihat mereka yang sangat memerlukan terbunuh,” kata Linda-Gail Bekker, presiden Persatuan Aids Antarabangsa (IAS) yang akan menerima lebih 6,000 pakar di Paris bermula Ahad untuk membincangkan kemajuan sains untuk HIV.
“Kita tidak bercakap tentang kesan kecil…jika pemotongan (AS) dilakukan kita akan melihat kesan besar kepada kemajuan yang dicapai selama ini,” katanya kepada AFP.
Bajet Trump boleh menyebabkan 200,000 jangkitan HIV baru, menurut KFF.
Ia juga menyebabkan seramai 25 juta pasangan tanpa akses kepada alat pencegah kehamilan yang boleh menghalang penyebaran virus.
Selama bertahun AS merupakan penyumbang terbesar kepada perjuangan global memerangi jangkitan HIV, hampir dua pertiga pembiayaan diberikan kerajaan AS.
Tahun lepas, negara itu menyumbang AS$4.9 bilion kepada projek HIV global- 7.5 kali ganda lebih banyak berbanding penyumbang kedua, Britain.
Cadangan bajet Trump yang dihantar pada Mei lalu akan mengurangkan jumlah itu kepada AS$1 bilion sahaja, menurut Projek Akses Kesihatan Global.
Presiden AS itu mencadangkan pemotongan bajet itu yang disifatkan “mengurangkan pembiayaan untuk beberapa program kesihatan global, termasuk HIV/Aids, dengan harapan penderma lain boleh dan patut meningkatkan komitmen mereka.”
Draf bajet itu mencadangkan untuk “mengekalkan komitmen sedia ada dan jumlah pesakit yang terlibat dalam rawatan HIV/Aids” di bawah Pelan Kecemasan Presiden untuk Ais atau PEPFAR yang diwujudkan George W.Bush pada 2003.
Program itu membekalkan rawatan anti retroviral (ART) kepada lebih 12 juta orang.
Trump juga mencadangkan pemotongan 17 peratus daripada bajet kerajaan sebanyak AS$222 juta kepada AS$1.13 bilion untuk Dana Global Perangi Aids, TB dan Malaria yang memberikan rawatan ART kepada lebih 10 juta orang.
Sejak itu wabak itu dikesan pada 1980 an, 76.1 juta orang dijangkiti virus HIV yang menyebabkan Aids.
Hampir 35 juta sudah terbunuh.
Tahun lepas, Aids membunuh sejuta orang dan menjangkiti 1.8 juta orang menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tahun lepas juga, 19.5 juta daripada 36.7 juta mereka yang memerlukannya mempunyai akses kepada ART.
Hanya separuh daripada perbelanjaan kesihatan berkaitan Aids datang daripada sumber domestik pada 2016, tetapi banyak negara miskin sangat bergantung kepada bantuan asing.
Tahun lepas juga, di seluruh dunia, menurut KFF, pembiayaan kerajaan untuk HIV jatuh kepada tahap terendah sejak 2010- daripada AS$7.5 bilion kepada AS$7 bilion. – AFP, 23 Julai, 2017.
Komen