THAILAND kehilangan lebih sejuta pelancong dari China berikutan kemalangan bot yang menyebabkan hampir 50 orang terbunuh bulan lalu, dan berpotensi untuk membeeri kesan negatif kepada sektor pelancongan di negara itu.
Bot The Phoenix yang membawa kira-kira 105 penumpang yang kebanyakannya pelancong dari China tenggelam ketika dalam perjalanan pulang daripada aktiviti snorkeling pada 5 Julai lalu di perairan selatan pulau peranginan Phuket.
Ia merupakan antara tiga bot yang tidak mengendahkan amaran cuaca buruk ketika hari kejadian.
Kapten bot, jurutera dan pemilik syarikat yang mengendalikan bot berkenaan ditahan sementara siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, kata polis Phuket kepada AFP.
Penyelam dan tentera laut mengambil masa lebih daripada seminggu untuk mengeluarkan mayat yang terperangkap dalam bit berkenaan, dengan angka kematian melibatkan 47 warganegara China.
Pelancong dari China merupakan antara penyumbang terbesar sektor pelancongan negara gajah putih itu yang mana suku daripada 35 juta pelancong yang melawat Thailand adalah dari China pada tahun lalu.
Dalam kenyataan yang diberikan kepada AFP, Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand menurunkan angka jumlah ketibaan pelancng China bagi Julai-Disember hampir 670,000 kepada 5.1 juta orang.
“Faktor yang menjadikan jumlah pelancong China berkurangan adalah kerana tidak berpuas hati dengan insiden kemalangan bot yang sebahagian besarnya memberi kesan terhadap kumpulan syarikat pelancongan,” menurut kenyataan itu dan menambah Ogos akan menyaksikan penurunan sebanyak 60 peratus pelancong dari China.
Namun Thailand yakin, ketibaan pelancong dari China akan meningkat dari tahun ke tahun, menurut kementeriannya dan menambah ia dijangka akan menerima lebih 11 juta pelancong dari China tahun ini.
Kemalangan itu merupakan insiden terburuk melibatkan bot dalam sejarah Thailand.
Namun ia menerima perhatian yang sedikit berbanding operasi menyelamat 12 kanak-kanak dan jurulatih bola sepak mereka dari sebuah gua di utara negara itu yang berlaku dalam tempoh masa yang sama. – AFP, 2 Ogos, 2018
Komen