Tentera Arab Saudi tangani militan Houthi di Selat Bab al-Mandab


Pasukan pro-kerajaan berjalan kaki di pelabuhan barat daya pantai Mokha, Yaman dalam usaha menghalau pemberontak Houthi dari pantai Laut Merah. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2018.

GABUNGAN tentera pimpinan Arab Saudi yang terlibat dalam pertempuran di Yaman mengambil langkah-langkah untuk melindungi navigasi maritim dan perdagangan antarabangsa di Selat Bab al-Mandab dan selatan Laut Merah.

Jurucakap gabungan itu, Kolonel Turki al-Malki, berkata langkah itu mematuhi undang-undang antarabangsa yang akan menangani penentangan militia Houthi, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita Arab Saudi pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jenis langkah itu namun memberi amaran akan berlaku bencana semula jadi dan ekonomi jika puak pemberontak Houthi terus menyasarkan kapal-kapal di Selat Bab al-Mandab dan selatan Laut Merah.

Riyadh menggantung semua penghantaran minyak mentah menerusi Selat Bab al-Mandeb sebagai respons kepada serangan Houthi ke atas dua kapal tangki minyak Arab Saudi yang melalui selat di Laut Merah itu pada 25 Julai.

Serangan itu menyebabkan kerosakan kecil kepada sebuah daripada kapal tangki terbabit.

Menteri Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid Al-Falih, berkata larangan itu akan diteruskan sehingga navigasi melalui Selat Bab al-Mandab dijamin selamat.

Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi campur tangan dalam konflik Yaman pada Mac 2015 untuk mengusir pemberontak Houthi dan mengembalikan kerajaan presiden dalam buangan, Abdu-Rabbu Mansour Hadi. – Bernama, 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen