Erdogan sokong hukuman mati selepas serangan ragut nyawa ibu, bayi


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan (tengah) dan Menteri Pertahanan Hulusi Akar (tiga dari kanan) bersama-sama solat jenazah mangsa letupan bom di tenggara wilayah Hakkari. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2018.

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan, pada Rabu berkata beliau akan menyokong hukuman mati jika Parlimen mengemukakan cadangan berhubung perkara itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Erdogan berkata demikian selepas satu serangan pengeboman, yang dipercayai dilancarkan oleh militan Kurdish, meragut nyawa seorang ibu dan bayinya pada Selasa sekali gus mencetuskan kemarahan di seluruh negara itu.

Bercakap pada majlis pengkebumian kedua-dua mangsa, Erdogan berikrar untuk terus memerangi pejuang Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan “sehingga hanya tinggal pengganas yang terakhir.”

Beliau mengulas desakan agar hukuman mati dikembalikan daripada anggota keluarga mangsa yang sedang berkabung.

Pada 31 Julai, sebuah bom yang ditanam di tepi jalan meletup menyebabkan isteri dan bayi berusia 11 bulan seorang tentera Turki terbunuh di tenggara wilayah Hakkari.

Turki memansuhkan hukuman mati pada 2004 sebagai sebahagian daripada langkah untuk menyertai Kesatuan Eropah. – Bernama, 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen