Selepas Filipina tarik diri, tuan rumah Sukan SEA 2019 baru akan dicari


Peruntukan Sukan SEA Filipina yang sepatutnya dijadualkan pada 2019 dipindahkan kepada pembangunan semula bandar Marawi yang rosak teruk kerana pertempuran tentera dan militan Islam. – Gambar EPA, 23 Julai, 2017.

PERSEKUTUAN Sukan SEA (SEAGF) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memilih tuan rumah baharu Sukan SEA ke-30 selepas Filipina menarik diri daripada menjadi penganjur temasya dwitahunan itu pada 2019.

Presiden SEAGF, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata mesyuarat SEAGF itu akan diadakan selepas badan induk temasya sukan itu menerima surat rasmi daripada Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC), minggu depan.

Jumaat lepas, Pengerusi Suruhanjaya Sukan Filipina, William Ramirez mengumumkan keputusan itu kerana Filipina mahu memberi tumpuan usaha pemulihan serta pembangunan semula bandar Marawi di Mindanao yang terjejas teruk akibat pertempuran selama lebih dua bulan antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan.

Tunku Imran berkata, beliau dimaklumkan POC bahawa peruntukan yang disalurkan negara itu untuk persiapan menjadi penganjur Sukan SEA pada 2019 kelak terpaksa digunakan untuk memulihkan bandar Marawi di wilayah selatan negara itu.

“POC memberitahu kami sebelum ini bahawa mereka akan menghantar surat rasmi pada Rabu ini untuk mengumumkan keputusan mereka dan jika pendirian itu kekal, saya akan memanggil mesyuarat SEAGF untuk membincangkan calon baharu tuan rumah edisi berkenaan,” katanya.

Tunku Imran, yang juga presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), berkata demikan pada sidang media selepas menghadiri Majlis Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri OCM di Wisma OCM, di sini hari ini.

Beliau berkata Vietnam dan Kemboja, yang masing-masing akan menjadi tuan rumah pada edisi 2021 dan 2023, boleh menawarkan diri untuk menggantikan Filipina sekiranya mereka bersedia menganjurkan temasya sukan itu pada 2019.

Semasa Sukan SEA Singapura 2015, Filipina bersetuju untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA edisi 2019 selepas Brunei dan Vietnam menolak tawaran tersebut kerana kurang bersedia.

Filipina menjadi hos Sukan SEA selama tiga kali iaitu buat pertama kali pada 1981,1991 dan kali terklahir pada 2005.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini. – Bernama, 23 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen