Thailand mohon Britain ekstradisi bekas PM


Kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2014 dan didakwa berhubung kegagalan polisi berasnya. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2018.

JUNTA Thailand mahu Britain mengekstradisi pemimpin yang digulingkan Yingluck Shinawatra, berdasarkan permohonan yang dilihat oleh AFP baru-baru ini.

Yingluck, yang digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2014, melarikan diri ke negara itu pada Ogos 2017 selepas didakwa berhubung kegagalan polisi beras oleh kerajaannya.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara lima tahun penjara kerana gagal menghentikan rasuah dalam program itu - satu kes yang didakwa oleh penyokongnya sebagai sebahagian daripada usaha junta untuk menyingkirkan keluarga bekas perdana menteri itu daripada arena politik.

Laporan mengatakan beliau berada di Dubai dan kemudian London, ketika khabar angin berlegar mengatakan beliau mencari suaka di Britain.

Beberapa gambar yang kononnya beliau berada di Jepun, Singapura dan China muncul di media sosial dan dalam laporan tempatan.

Kerajaan “dengan ini memohon ekstradisi Cik Yingluck Shinawatra, warganegara Thailand, yang dipercayai berada di United Kingdom,” kata surat daripada kedutaan Thailand di London yang dilihat oleh AFP pada Khamis.

Britain, yang mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Thailand, tidak mengulas status imigresen mana-mana individu.

Tetapi Pheu Thai, parti yang dahulunya diketuai oleh Yingluck, berkata permintaan bertarikh 5 Julai adalah sahih.

Chaikasem Nititsiri, ahli kanan Pheu Thai, berkata beliau tidak percaya permintaan ekstradisi itu akan dipenuhi kerana pendakwaan yang dikenakan terhadap Yingluck.

“Kes ini jelas bersifat politik sejak ia bermula,” katanya.

Keluarga Shinawatra yang terkenal dengan kekayaannya sangat popular di kawasan luar bandar negara itu, di mana pengundi dipancing dengan skim kebajikan yang membantu mereka menguasai pilihan raya sejak berdekad lalu.

Tetapi mereka dicop sebagai oportunis yang korup oleh elit tentera bersekutu Bangkok, yang pernah melakukan rampasan kuasa, keputusan mahkamah dan protes untuk menggulingkan pentadbiran mereka. –  AFP, 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen