POLIS Afghanistan melancarkan misi mencari dan menyelamat hampir 30 orang penduduk kampung yang masih hilang selepas diculik militan Talibat di selatan Kandahar. Penculikan besar-besaran itu berlaku dua hari lepas.
Tujuh puluh orang diculik pada Jumaat lalu dari perkampungan mereka yang terletak di jalan utama dan tujuh daripada mereka ditemui mati keesokan harinya di lebuh raya yang menghubungkan Kandahar ke Tarinkot, di daerah Uruzgan.
Hampir 30 lagi sudah dibebaskan tetapi 30 yang lain masih hilang, kata jurucakap polis Zia Durani kepada AFP.
Motif penculikan masih tidak dipastikan. Tetapi pihak berkuasa mengatakan mereka mengsyaki Taliban menculik atau membunuh penduduk kampung itu kerana disyaki bekerjasama dengan kerajaan yang disokong Barat yang sedang diperangi militan itu.
Militan masih berkuasa di Uruzgan, kawasan penanaman popi.
Pada Ahad, militan menafikan penglibatan dalam kes culik itu, walaupun mengakui yang mereka menyerang pusat pemeriksaan polis di kawasan itu.
Orang awam seringkali terperangkap dalam konflik Afghanistan yang semakin buruk apabila Taliban memperhebat serangan sejak April lepas.
Lebuh raya melintasi kawasan bergolak menjadi semakin merbahaya, apabila Taliban dan kumpulan pemberontak bersenjata yang lain seringkali mensasarkan orang awam dengan menculik atau membunuh mereka.
Julai lalu, Taliban menutup lebuh raya menghubungkan Farah ke Herat di barat negara itu, menahan sebuah bas dan memaksa 16 penumpang turun. Mereka kemudiannya menembak mati tujuh orang dan selebihnya dijadikan tebusan. – AFP, 23 Julai, 2017.
Komen