Jerman tiada hak masuk campur urusan dalaman Turki, kata Erdogan


Hubungan antara Turki dan Jerman semakin tegang selepas rampasan kuasa yang gagal berlaku di Turki tahun lepas dan Berlin menyuarakan kebimbangan pencabulan hak asasi di Turki. – Gambar AFP, 23 Julai, 2017.

JERMAN tidak mempunyai hak untuk masuk campur urusan dalam negara Turki, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan hari ini ketika pertikaian dua negara itu semakin memuncak susulan penangkapan beramai-ramai rakyatnya dalam negara yang diisytiharkan darurat itu.

Beberapa orang warga Jerman antara yang ditahan dan Berlin memberikan amaran kepada rakyatnya yang keselamatan mereka tidak dijamin di Turki dan khidmat konsulat tidak dapat dijamin akan dapat diberikan sekiranya mereka ditangkap.

Sebelum ini, Menteri Luar Jerman Sigmar Gabriel tanpa berselindung memberikan amaran kepada syarikat Jerman supaya tidak melabur di Turki dan bercakap tentang “perubahan sepenuhnya” dalam hubungan dua negara itu.

“Turki ialah negara demokratik sosial berasaskan undang-undang dan tiada sesiapa berhak untuk masuk campur urusan dalamannya,” kata Erdogan sebelum berlepas untuk memulakan lawatan rasmi di negara Teluk.

Turki masih diletakkan dalam pemerintahan darurat selepas cubaan rampasan kuasa yang gagal pada 15 Julai tahun lepas dan pengkritik mendakwa ia digunakan untuk penentang Erdogan. Pihak berkuasa bagaimanapun mengatakan yang darurat itu diperlukan untuk keselamatan negara.

Krisis terbaru ini tercetus apabila mahkamah Turki mengarahkan penahanan kumpulan aktivis hak asasi manusia termasuk Pengarah Amnesty International Turki, Idil Eser dan aktivis warga Jerman, Peter Steudtner. 

Kemarahan Berlin bermula pada Febuari apabila Deniz Yucel, wartawan Turki untuk akhbar Jerman, Die Welt dipenjarakan. Dia dianggap Erdogan sebagai “agen pengganas”. – AFP, 23 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen