PEMANDU teksi di Sepanyol pada Rabu menamatkan mogok mereka terhadap aplikasi perkhidmatan pengangkutan seperti Uber selepas Madrid bersetuju membenarkan kerajaan tempatan menyelia sektor itu.
Mogok itu bermula di Barcelona pada Rabu minggu lepas dan merebak ke Madrid pada hujung minggu apabila pemandu mendesak tindakan diambil ke atas apa yang mereka percaya kelemahan penguatkuasaan terhadap VTC (kenderaan pelancong dengan pemandu).
Pada Isnin, ia merebak ke seluruh negara dengan pemandu teksi menghalang jalan raya dan mengepung lapangan terbang dan stesyen keretapi.
Mogok itu hampir serupa berlaku di banyak negara Eropah lain, ketika pemandu teksi merungut yang pesaing aplikasi pengangkutan mengancam kelangsungan hidup mereka, mendakwa misalnya lesen mereka lebih mahal berbanding VTC.
Persekutuan teksi Sepanyol mahukan pihak berkuasa lebih tegas menguatkuasa perundangan memerlukan sekurang-kurangnya 30 lesen teksi tradisional untuk setiap lesen VTC.
Jawatankusa mogok teksi dalam satu kenyataan berkata ia menghentikan mogok seluruh Sepanyol selepas kerajaan berkata ia akan membenarkan kerajaan tempatan menyelia lesen VTC.
Tetapi ia memberi amaran yang pemandu teksi akan “kembali ke jalanan” sekiranya usaha itu tidak mengetatkan kawalan aplikasi pengangkutan.
Kedai dan restoran di Madrid dan Barcelona pada Rabu mengadu terdapat kejatuhan 15-30% jualan disebabkan mogok itu.
Pemandu VTC pula mengecam tindakan pemandu teksi, mendakwa ada antara mereka diserang.
Pejabat kerajaan pusat di Madrid yang berjumpa wakil Unauto, kumpulan mewakili VTC berkata polis sedang “menyiasat lebih 60 aduan serangan fizikal, merosakkan kenderaan, paksaan dan gangguan awam.” – AFP, 2 Ogos, 2018.
Komen