Skandal jenayah seksual gereja, Chile minta bantuan Vatican


Chile sedang menyiasat 158 ahli Gereja Katolik negara itu kerana terlibat atau menyembunyikan jenayah seksual ke atas kanak-kanak dan orang dewasa.– Gambar EPA, 2 Ogos, 2018.

PENDAKWARAYA Chile pada Rabu berkata mereka sudah meminta Vatican menyerahkan fail sembilan paderi yang sedang disiasat kerana jenayah seksual.

“Pendakwaraya Negara Jorge Abbott, hari ini menandatangani surat rasmi dialamatkan ke Vatican, memohon rekod kanonikal melibatkan mereka yang sedang disiasat Pejabat Pendakwaraya Awam,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

Petisyen itu melibatkan tiga permohonan untuk bantuan dalam kes jenayah melibatkan sembilan ahli gereja.

Pada Julai, pendakwaraya berkata Chile sedang menyiasat 158 ahli Gereja Katolik negara itu kerana terlibat atau menyembunyikan jenayah seksual ke atas kanak-kanak dan orang dewasa.

Kes itu berkaitan dengan kejadian yang berlaku sejak 1960-an melibatkan 266 mangsa termasuk 178 kanak-kanak dan remaja.

Pope Francis menerima peletakan jawatan lima bishop Chile ketika skandal itu pecah.

Perkembagan kes itu dialu-alukan aktivis yang menuduh gereja terlibat melindungi jenayah dalam gereja berdekad lamanya.

Sejak 2000, hampir 80 paderi Katolik dilaporkan kepada pihak berkuasa Chile kerana didakwa melakukan jenayah seksual.

Pope Francis berulang kali memohon maaf kepada penganut kerana skandal itu, mengakui gereja gagal “untuk mendengar dan bertindak” ke atas dakwaan berdekad lamanya, tetapi berikrar untuk “mengembalikan keadilan.” – AFP, 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen