Ahli tak sampai setahun tanding pemilihan PKR bukan perkara baru


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Benarkan ahli tak sampai setahun tanding pemilihan PKR bukan perkara baru, kata Ketua Whip PKR Johari Abdul.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

MEMBENARKAN ahli yang tidak sampai setahun untuk bertanding pemilihan PKR tidak harus dijadikan isu, kata ahli Parlimen parti berkenaan.

Mereka berkata, ini kerana ia harus terlebih dahulu mendapat kelulusan presiden.

“Itu ialah keputusan lama, bukan baru. Ini berlaku apabila Zaid Ibrahim, yang baru masuk (parti) bertanding menentang Mohamed Azmin Ali,” kata Ketua Whip Parlimen Johari Abdul kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata peraturan itu membantu perkembangan cabang parti di beberapa negeri, terutama di pantai timur.

“Kita perlukan percambahan dan kesuburan pembangunan parti di satu tempat, khususnya di pantai timur.

“Dengan syarat mendapat kelulusan oleh presiden,” katanya.

The Malaysian Insight awal hari ini melaporkan yang PKR melonggarkan syarat pemilihan parti bagi sesi pimpinan 2018 hingga 2021 dengan membenarkan ahli yang tidak sampai setahun menyertai parti bertanding dengan kelulusan khas daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Kelonggaran yang diberikan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan tentang ketelusan kelulusan berkenaan, kata ahli PKR.

Dalam surat kepada ahli-ahli PKR hari ini, Wan Azizah berkata mana-mana ahli yang ingin bertanding tetapi tidak cukup syarat kerana belum sampai setahun jadi ahli boleh memohon kelulusan khas berkenaan daripadanya sebelum 12 tengahari esok.

“Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menerima banyak permohonan berkaitan kebenaran untuk bertanding bagi anggota yang kurang daripada setahun menyertai parti.

“Oleh kerana permohonan kali ini terlalu mendadak, justeru itu, saya telah menetapkan semua permohonan perlu sampai kepada saya selewat-lewatnya pada jam 12 tengahari 1 Ogos 2018,” kata Wan Azizah dalam surat itu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.– 1 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen