Korea Selatan dilanda suhu panas tertinggi 40.7 celsius


Suhu di Korea Selatan mencecah 40.7 darjah Celsius pada Rabu, direkodkan di Hongcheon, sebuah bandar di wilayah timur laut Gangwon.– Gambar AFP, 1 Ogos, 2018.

SUHU di Korea Selatan mencecah 40.7 darjah Celsius pada Rabu, direkodkan di Hongcheon, sebuah bandar di wilayah timur laut Gangwon, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

Ia adalah suhu tertinggi pernah dicatatkan, sejak KMA mula mengumpulkan data pada tahun 1907, lapor agensi berita Xinhua.

Suhu tertinggi sebelum ini ialah 40 darjah Celsius dicatatkan di bandar selatan Daegu di wilayah Gyeongsang Utara pada 1 Ogos 1942.

Pada tengahari, suhu harian di Seoul mencapai paras tertinggi iaitu 39.6 darjah Celsius, tertinggi dalam tempoh 111 tahun. Sebelum ini bacaan 38.4 darjah Celsius dicatatkan pada 24 Julai 1994.

Gelombang panas luar biasa berlaku sebaik musim hujan yang berakhir lebih awal hanya selama 16 hari, separuh daripada tempoh purata dari 1981 hingga 2010.

Tekanan atmosfera yang tinggi dari Pasifik Utara, mempengaruhi suhu musim panas di Korea Selatan, ditambah dengan tekanan atmosfera tinggi dari Tibet, membawa bahang panas ke negara itu.– Bernama, 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen