SEORANG lelaki warga Korea Selatan dan tiga Filipina diculik di Libya oleh kumpulan bersenjata tidak dikenali sejak 6 Julai lepas, kata seorang pegawai Kementerian Luar.
Mereka diculik di loji air di Jabal Hasouna, wilayah barat Libya, lapor agensi berita Yonhap. Identiti penculik masih belum dapat dipastikan.
Buat masa ini juga masih belum dapat disahkan sama ada terdapat sebarang tuntutan dibuat sebagai balasan untuk pembebasan mereka.
Sebelum ini, terdapat satu rakaman video mengenai mangsa dimuat naik di dalam akaun Facebook sebuah syarikat media utama di Libya.
Seorang daripada mangsa mendakwa sebagai warga Korea, berkata dalam bahasa Inggeris, “Tolong bantu saya, presiden dan negara Korea Selatan.”
Tidak dapat dipastikan bila video tersebut dirakamkan. Seorang diplomat Korea Selatan di Libya sebelum ini, melaporkan mengenai perkara itu kepada kerajaan Seoul.
Lelaki Korea itu kelihatan sihat walaupun telah diculik hampir sebulan.
Kerajaan Seoul bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan mereka dapat dibebaskan dengan cepat dan selamat.
“Kami telah melakukan segala usaha sejak kejadian berlaku. Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan Libya dan keutamaan kami ialah keselamatan rakyat kita,” kata seorang pegawai kementerian.
Tentera Korea Selatan dikatakan telah menghantar unitnya yang beroperasi di Teluk Aden ke kawasan itu pada hari penculikan. – Bernama, 1 Ogos, 2018.
Komen