Ahli Pussy Riot rempuh padang akhir Piala Dunia dibebaskan


Empat ahli Pussy Riot ditahan kerana merempuh masuk padang pada perlawanan akhir Piala Dunia di Moscow. Mereka dibebaskan kerana hakim tidak mahu mendengar kes mereka disebabkan masalah teknikal. – Gambar AFP, 1 Ogos, 2018.

POLIS Rusia tanpa dijangka membebaskan ahli kumpulan Pussy Riot pada Rabu ketika mereka masih berdepan dakwaan merempuh masuk padang pada perlawanan akhir Piala Dunia di Moscow bulan lepas, kata aktivis.

Empat ahli kumpulan itu menghabiskan masa sehari bermalam dalam lokap polis dan sehari lagi menunggu pendengaraan di mahkamah sebelum hakim menolak untuk mendengar kes itu kerana masalah teknikal.

Polis kemudian membawa mereka kembali ke stesyen sebelum membebaskan mereka selepas tengah malam, kata Pyotr Verzilov, ahli kumpulan itu di Twitter.

Aktivis Pussy Riot berdepan tindakan undang-undang selepas merempuh masuk padang pada pertandingan akhir Piala Dunia pada 15 Julai lalu di Moscow dengan memakai uniform polis. Mereka menggelarkan protes itu sebagai protes politik.

Verzilov, Veronika Nikulshina, Olga Kuracheva dan Olga Pakhtusova sudah dipenjara 15 hari kerana melanggar undang-undang penonton acara sukan. Mereka juga didenda 1,500 ruble ($24,20 euro) setiap seorang kerana memakai uniform polis.

Mereka merempuh padang pada separuh masa kedua perlawanan antara Perancis dan Croatio disaksikan Presiden Vladimir Putih dan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Apabila dibebaskan polis selepas tamat hukuman pada Isnin, mereka ditahan sekali lagi oleh polis dan ditahan semalaman.

Keesokan harinya mereka menunggu perbicaraan di Mahkamah Daerah Khamovnichesky di Moscow kerana mengadakan protes haram dan melanggar arahan polis. Bagaimanapun, hakim enggan mendengar kes itu.

Aktivis berkenaan perlu melaporkan diri ke balai polis Jumaat ini dan berkata mereka mungkin dipenjara 25 hari lagi.

Pada 2012, Pussy Riot mendapat perhatian antarabangsa kerana mengadakan bantahan di gereja di Moscow. Dua ahlinya dipenjarakan, seorang lagi diberikan hukuman tertangguh. – AFP, 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen