PARTI pemerintah Zanu PF mendahului keputusan Pilihan Raya Umum ke-30 dengan memenangi 73 kerusi setakat ini, berbanding lawan yang sekadar memperolehi 27 kerusi.
Berdasarkan keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Zimbabwe (ZEC), sehingga awal pagi Rabu, kedudukan Parti Perikatan merangkap parti pembangkang utama, MDC berada jauh di belakang, meskipun mendapat sokongan padu pengundi di kawasan bandar.
Sebaliknya, parti Zanu-PF, mempunyai prestasi baik di kawasan luar bandar dan merupakan kubu kuat parti berkenaan, meskipun kalah di kebanyakan kawasan bandar.
Jutaan penduduk Zimbabwe mengundi pada Isnin untuk memilih presiden baharu dan wakil Parlimen serta kerajaan tempatan, dalam pilihan raya pertama selepas hampir 40 tahun.
ZEC, badan yang bertanggungjawab menjalankan pilihan raya di negara itu berkata, keputusan akan diumumkan sebaik undian di setiap saluran mengundi habis dikira.
Zimbabwe mempunyai 210 kawasan pilihan raya dan lebih banyak keputusan akan diumumkan menjelang pagi Rabu.
Bagaimanapun, keputusan pemilihan presiden yang menyaksikan penyandang Presiden Emmerson Mnangagwa dicabar pemimpin Perikatan MDC, Nelson Chamisa, hanya akan diumumkan selepas semua undi di seluruh kawsan pilihan raya selesai dikira.
Di bawah undang-undang, ZEC mempunyai tempoh lima hari untuk mengisytiharkan keputusan pilihan raya. – Bernama, 1 Ogos, 2018.
Komen