Myanmar tubuh suruhanjaya bebas siasat isu Rakhine


Suruhanjaya siasatan bebas yang ditubuhkan akan menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan isu berkaitan susulan serangan puak pelampau Tentera Penyelamat Rohingya Arakan tahun lepas. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2018.

KERAJAAN Myanmar membentuk satu suruhanjaya siasatan yang bebas berhubung isu Rakhine sebagai sebahagian daripada inisiatif nasionalnya bagi menangani perdamaian, keamanan, kestabilan dan pembangunan di negeri itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Suruhanjaya bebas itu, yang ditubuh pada Isnin oleh Pejabat Presiden, dipertanggungjawabkan untuk menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan isu berkaitan susulan serangan puak pelampau yang dikenali sebagai Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (Arsa) tahun lepas.

Kerajaan Myanmar mengulangi jika terdapat pencabulan hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan negara itu yang disertai dengan bukti kukuh, siasatan akan dilakukan dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang.

Dalam perkembangan terkini, Myanmar menerima kumpulan pertama 62 orang yang kembali ke negara itu menerusi kem Nga Khu Ya selepas melarikan diri ke Bangladesh susulan konflik di Rakhine.

Mereka akan dipindahkan ke kem transit Hla Pho Khaung di Maungtaw selepas menjalani pengesahan sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sementara itu, Myanmar mempertimbang penutupan baki kem pelarian dalam negeri (IDP) di negara tersebut.

Terdapat lebih 140 kem IDP di Myanmar, dengan jumlah populasi lebih 160,000 orang di 15 pekan dalam empat negeri.

Tiga kem IDP di barat negeri Rakhine ditutup manakala tiga lagi dalam proses penutupan.

Kem di tiga negeri lain akan turut ditutup kerana usaha-usaha sedang dilakukan bagi memastikan IDP memiliki akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan serta kebebasan bergerak di bawah undang-undang dan penglibatan mereka dalam pembangunan ekonomi negara.

Arsa melancarkan serangan ke atas pos kawalan polis di Rakhine pada 25 Ogos tahun lepas, menyebabkan sejumlah besar penduduk yang tersingkir melarikan diri ke negara jiran Bangladesh. – Bernama, 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen